
Presidennya Sheena Gurbakhash memberitahu FMT, tidak ada asas untuk menyiasat pelajar terbabit kerana hubungan antara dua orang dewasa berdasarkan persetujuan atau suka sama suka tidak menyalahi undang undang.
“Bila bercakap mengenai pelajar, yang dimaksudkan pelajar wanita. Oleh itu ada pilih kasih (double standard) di mana tindakan wanita dan pilihan yang dibuat diteliti dan periksa, dihakimi dan dikecam,” katanya sambil merujuk kepada hakikat tiada “sugar daddy” yang disiasat.
Daripada menjadikan pelajar sasaran, Sheena mencadangkan pihak berkuasa mengkaji semula undang-undang mengenai pelacuran kerana perundangan yang ada “menjadikan pekerja seks sebagai mangsa” mengakibatkan mereka diekspoitasi oleh bapa ayam, pelanggan dan juga polis.
Sugarbook, laman khidmat temujanji “sugar daddy-sugar baby” terbesar di Asia, sebelum ini mendedahkan 12,705 daripada pengguna aplikasi itu adalah pelajar dari 10 universiti awam dan swasta.
Difahamkan, polis sudah membuat siasatan ke atas laman web temujanji itu dan pengguna yang mungkin menjalankan “akitivti tidak bermoral” selepas sebuah institusi pengajian tinggi membuat laporan.
Kementerian Pengajian Tinggi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga menjalankan siasatan ke atas aplikasi Sugarbook dan universiti yang disenaraikan. Laman web itu sudah tidak boleh diakses.
Pengasas laman web itu sudah ditahan, tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.
Bagaimanpun menurut polis Selangor, lelaki itu masih ditahan berhubung dua kes berasingan.
Dia dilaporkan disiasat antaranya bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan berhubung pembabitan dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Peguam N Sivananthan mendakwa, pihak berkuasa bertindak bagai “polis moral” kerana tindakan yang diambil berkaitan Sugarbook “mengejutkan dan tidak masuk akal”.
Sivananthan berpendapat, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tepat dalam menolak permohonan polis untuk perintah reman kerana Sugarbook tidak berbeza dengan laman web temujanji yang lain.
“Saya tidak faham bagaimana Seksyen 372 atau Seksyen 505 digunakan kerana pengasasnya tidak memaksa sesiapa atau membayar sesiapa datang ke laman webnya. Mereka yang melawat dengan sukarela dan laman itu menjelaskan fungsinya”.
Menurut beliau, laman itu bukan laman web pelacuran. Ia adalah platform untuk orang bertemu dan pengasasnya tidak ada kena mengena dengan keputusan pengunjung selepas berkenalan.
Bagi Sivananthan, tidak adil menyamakan “sugar baby” dengan pelacur dan menghalang orang ramai berinteraksi, yang melanggar hak untuk membuat pilihan.