Borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 tular bukan borang muktamad, kata KP kesihatan

Borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 tular bukan borang muktamad, kata KP kesihatan

Borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 adalah dokumen yang akan digunakan untuk diberi kepada penerima vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, borang persetujuan penerimaan vaksin bertujuan memastikan penerima memahami manfaat dan risiko vaksin.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang disebarkan dan dimuat naik di laman web Jabatan Kesihatan Pulau Pinang bukan borang persetujuan muktamad yang akan diguna pakai dalam program pemberian vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 adalah dokumen yang akan digunakan untuk diberi kepada penerima vaksin bagi mereka menyatakan persetujuan menerimanya secara sukarela.

Katanya, borang persetujuan serupa juga akan digunakan oleh negara lain, yang turut melaksanakan program imunisasi Covid-19.

“Kandungan dalam borang persetujuan ini untuk memastikan penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang dibaca atau diterangkan anggota kesihatan mengenai manfaat dan risiko vaksin,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, semua vaksin yang akan memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu daripada segi kualiti, keberkesanan, dan keselamatannya oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Bahkan, melalui pelaporan yang diperolehi KKM daripada negara yang sudah melaksanakan program vaksinasi Covid-19, vaksin terbabit selamat digunakan.

“KKM ingin memaklumkan bahawa borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang muktamad akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat, bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama,” katanya.

Hisham turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan kepada orang ramai.

FMT dalam laporan semalam merujuk kepada borang persetujuan vaksinasi Covid-19 yang dimuat naik di laman web Jabatan Kesihatan Pulau Pinang yang merangkumi klausa persetujuan penerima vaksin bertanggungjawab terhadap sebarang risiko.

Borang berkenaan bagaimanapun sudah dipadam daripada laman web berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.