Sabung ayam, langgar PKP, 14 kaki judi ditahan

Sabung ayam, langgar PKP, 14 kaki judi ditahan

Wang tunai lebih RM25,000 turut dirampas dalam serbuan di kawasan kebun itu.

Polis melakukan serbuan di sebuah kawasan lapang yang dijadikan pusat perjudian sabung ayam dekat Menglembu semalam. (Gambar IPD Ipoh)
IPOH:
Seramai 14 individu ditahan ketika leka berjudi sabung ayam di kawasan kebun di Taman Impiarna Adril dekat Menglembu, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan 11.45 pagi itu semua yang ditahan berusia antara 26 hingga 71 tahun.

“Siasatan awal mendapati perjudian sabung ayam ini berlangsung sebanyak lima kali.

“Ayam akan bersabung 20 minit sekali pusingan dan masing-masing akan letakkan pertaruhan dengan jumlah antara RM500 ke RM1,000,” katanya.

Antara ayam yang dirampas dalam serbuan itu. (Gambar IPD Ipoh)

Katanya, semua tangkapan turut dikenakan kompaun kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ditahan di lokap polis Jelapang.

Beliau berkata, polis akan memohon reman terhadap semua suspek hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganaiyaan Terhadap Binatang 1952.

Asmadi berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas lima ayam sabung, lima sangkar, satu jam penggera digital, dua gulung kertas kotak (gelanggang), empat kerusi serta wang tunai berjumlah RM25,078.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.