
Kesungguhan dan kegigihan Mohd Aidil Pulian, 34, yang turut dilaporkan FMT sebelum ini menarik perhatian ramai dan mendorong beberapa pihak menghulurkan pelbagai jenis bantuan kepadanya.
Antaranya syarikat Pertama Digital Berhad yang mahu memberi peluang kepada Aidil, atau lebih dikenali sebagai Ben, membuka kedai haiwan peliharaan.
Pengarah strategi Saify Akhtar memberitahu FMT, pada mulanya syarikat itu ingin menyumbang sebuah motosikal kepada Ben untuk memudahkan kerjanya sebagai penghantar makanan.
“Bagaimanapun, dia (Ben) tidak memiliki lesen motosikal atau kereta, dan dia memberitahu (kami) dia tidak memerlukannya (motosikal),” katanya.
Selepas berbual panjang dengan Ben, Saify berkata, dia mendapat tahu tentang minat Ben untuk memulakan perniagaan kecil dan berhasrat membantunya.
“Ben ingin membuka kedai haiwan peliharaan kerana dia sangat berminat dengan haiwan peliharaan sejak dari dulu lagi,” katanya.

Dia kemudian mencadangkan Ben memulakan perniagaan dalam talian terlebih dahulu, seperti menerusi platform Shopee, dan dari situ, syarikatnya boleh memberikan sejumlah modal pendahuluan.
“Ben berkata dia akan kembali menghubungi saya untuk memberikan butiran pelan perniagaannya dan kemudian saya akan membantunya dengan kaedah yang terbaik seterusnya menyediakan premis dalam talian dan membiayai stok awal. Ia mungkin berlaku dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.
Sementara itu, Ben ketika dihubungi berkata, dia sangat bersyukur atas keprihatinan orang ramai selepas kisah hidupnya sebagai “Panda Walker” tular.
“(Pertama Digital Berhad) ada menghubungi saya dan menawarkan saya peluang untuk berniaga.
“Sudah tentu saya teruja dan akan menghantar kertas cadangan kepada mereka mungkin dalam masa terdekat ini. Saya juga tidak mempunyai banyak masa kerana sibuk dengan tugas menghantar makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Ben turut memaklumkan terdapat beberapa pihak lain turut berminat menghulurkan bantuan kepadanya.
“Pejabat Foodpanda Kota Kinabalu juga mahu bertemu saya, selain individu daripada NGO. Saya belum tahu lebih lanjut kenapa mereka mahu berjumpa, tapi apa yang boleh saya katakan adalah mereka mahu membantu,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan kisah Ben yang tidak kenal erti penat lelah demi menyara keluarganya.
Bapa kepada dua anak yang menetap di Kampung Bambangan, Inanam itu mengerah kudrat dengan mengayuh basikal BMX sejauh lebih 30km setiap hari demi menjalankan tugas sebagai penghantar makanan.
Gambarnya mengayuh basikal di jalan raya yang dimuat naik seorang pengguna Facebook, Fareed Aydrus, tular di media sosial sehingga mendapat ratusan komen dan perkongsian.
Ben juga mempunyai pekerjaan lain sebagai pemandu pelancong namun gaji bulanannya terpaksa dikurangkan kerana majikannya masih belum dibenarkan beroperasi.
Menurut Ben, gajinya yang kini hanya RM600 sebulan sebagai pemandu pelancong tidak mencukupi untuk menampung kehidupannya yang sudah berkeluarga.
“Selepas pendapatan terjejas disebabkan wabak Covid-19 ini, saya terpaksa melakukan kerja (menghantar makanan) kerana saya mempunyai keluarga untuk disara,” katanya.