
FreeMalaysiaToday (FMT) dengan sukacita mengumumkan pelantikan beberapa pegawai utama untuk mengemudi pertumbuhan syarikat, berkuatkuasa Februari.
Al-Ishsal Ishak – Pengerusi
Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman sepanjang 29 tahun dalam pelbagai sektor industri, Al-Ishsal Ishak, pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sebelum SKMM, beliau merupakan CEO kumpulan di Pos Malaysia Bhd. Ishsal, yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia juga merupakan penerima biasiswa musim panas Japan Airlines di Universiti Sophia, Tokyo. Kerjayanya bermula pada 1992 bersama syarikat Turnaround Managers Inc.
Beberapa tahun kemudian, beliau terpanggil untuk menjadi usahawan dalam sektor Internet yang sedang berkembang ketika itu sehingga 2008.
Beliau kemudian dilantik untuk menggalas pelbagai jawatan kanan di beberapa organisasi – sebagai ketua pegawai digital di McCann Ericsson Worldgroup, CEO Baraka Telecom, naib presiden kanan bagi pemasaran dan produk di Malaysia Airlines Bhd, ketua kumpulan Ancillary Income AirAsia, dan beberapa jawatan kanan dalam Tune Group.
Sebelum menerajui Pos Malaysia, Ishsal adalah pengarah urusan bagi Asia Tenggara untuk syarikat pelopor teknologi kewangan, ECO Capacity Exchange Ltd (UK), serta pelatih dan perunding untuk Airbus Group (Perancis).
Beliau juga pernah menganggotai Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan ahli Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC).
Azeem Abu Bakar – Pengarah Urusan
Azeem memegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Perakaunan & Kewangan dari London School of Economics (LSE).
Beliau merupakan pengasas bersama sebuah syarikat analitik media dan perolehan maklumat sumber terbuka di London, minat mendalam yang menjadi kekuatannya sepanjang 10 tahun beliau menceburi industri media digital dan perisian.
Beliau juga terlibat dalam beberapa usaha perniagaan di pelbagai sektor termasuk kewangan, hartanah, media, pendidikan, dan teknologi di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengembangkan perniagaan, serta mereka dan merunding perjanjian.
Sebelum menyertai FMT, Azeem bersama UEM Group dan UEM Sunrise Bhd selama lapan tahun, dan merupakan pegawai khas kepada pengarah urusan untuk mengawal selia pembangunan perniagaan, kewangan, dan perancangan strategik.
Dorairaj Nadason – Pengarang Urusan
Dorairaj Nadason sebelum ini bersama akhbar The Star selama 40 tahun. Bermula sebagai wartawan, beliau menaiki tangga kerjaya sehingga menjadi pengarang penerbitan yang melaksanakan pelbagai aspek teknikal penyampaian berita mencakupi pelbagai media, dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi pengarang eksekutif – jawatan yang pernah disandang sejak 2012.
Beliau juga pernah menjadi penulis kolum, WhyNot, untuk The Star. Pernah membuat liputan ke atas acara sukan utama seperti Piala Dunia, Olimpik, Kejohanan Olahraga Dunia dan Formula 1, dan menyelia liputan pilihan raya di Sarawak serta pilihan raya umum.