
“Kertas siasatan sudah dibuka,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin kepada FMT.
Beliau berkata, laporan itu dibuat di Cheras di mana kejadian berkenaan berlaku.
“Ya… Sudah tentu,” katanya ketika ditanya adakah Annuar akan dipanggil untuk disoal siasat.
Bawah peraturan PKP, hanya dua orang saja dibenarkan duduk di setiap meja di premis ketika makan.
Foto yang tular di media sosial memaparkan, Annuar makan di meja yang sama dengan enam individu lain semasa lawatan ke projek pusat komuniti di Cheras pada Jumaat.
Dalam catatan di Facebook, bekas setiausaha agung Barisan Nasional itu berkata beliau hanya “duduk sebentar” dan beredar selepas menyedari pihak penganjur tidak mengikut SOP.
“Bukannya saya tidak mahu atau tidak menghargai tuan rumah, tetapi mereka mesti mengikut SOP.
“Saya meminta maaf dan berharap tidak ada yang tersinggung,” katanya.
Penganjur sebelum ini sudah memohon maaf atas kejadian itu.
Annuar juga pernah menimbulkan kontroversi apabila gambarnya berjoging bersama dua individu lain tular bulan lalu.
Walaupun aktiviti sukan dan rekreasi dilarang semasa PKP, joging dan berbasikal dibenarkan, joging dibenarkan secara berpasangan dan berbasikal secara individu.
Dalam mempertahankan dirinya, Annuar berkata “itu adalah kebetulan” dia bertemu dengan dua individu itu.
Terdahulu, dua peguam dan Ahli Parlimen mempersoalkan adakah menteri Wilayah Persekutuan itu mempunyai “kekebalan” apabila “terlepas” dengan hanya menggunakan alasan tidak meyakinkan untuk pelanggaran secara terang-terangan terhadap SOP Covid-19.
Mereka mahu tindakan diambil terhadap Annuar, penganjur jamuan dan enam individu lain yang hadir kerana mengabaikan SOP PKP.