Pelajar universiti ‘sugar baby’, polis mula siasatan selepas terima laporan IPTA

Pelajar universiti ‘sugar baby’, polis mula siasatan selepas terima laporan IPTA

Polis turut mengalu-alukan IPT awam atau swasta untuk tampil membuat laporan jika mempunyai maklumat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan dibuka selepas menerima laporan daripada IPTA berkenaan selain laporan daripada orang ramai.
PETALING JAYA:
Polis menerima laporan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral bagi mencari “sugar daddy”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan dibuka selepas menerima laporan daripada IPTA berkenaan selain laporan daripada orang ramai.

“Kami di JSJ memulakan siasatan sendiri menerusi aplikasi laman web suai kenal yang dinyatakan iaitu ‘Sugarbook’ untuk mengenalpasti aktiviti sebenar yang berkemungkinan menjurus kepada aktiviti pelacuran.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, pihaknya kini berhubung dengan pengurusan IPTA berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti tidak bermoral tersebut dipercayai melibatkan penuntut mereka.

“Polis turut mengalu-alukan IPT awam atau swasta untuk tampil membuat laporan jika mempunyai maklumat atau tampil kepada JSJ Bukit Aman.”

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Terdahulu, FMT melaporkan Malaysia menjadi “sarang” kepada 42,500 “sugar daddy”, ketiga paling tinggi di Asia selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250), menurut SeekingArrangement laman “Sugar Dating” terbesar dunia.

Senarai itu diikuti Jepun yang mempunyai 32,500 “sugar daddy”, Hong Kong (28,600), Taiwan (27,300), Vietnam (12,000), Korea Selatan (7,000) dan Sri Lanka (5,000).

Ia disusuli kenyataan Sugarbook, platform temu janji “sugar daddy” terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40% pelajar universiti mendaftar untuk menjadi “sugar baby” sejak Januari lalu, dengan menyatakan krisis kewangan dialami golongan terbabit.

Platform itu turut mendedahkan senarai “top 10” universiti “sugar baby” di Malaysia di Lembah Klang termasuk dua universiti awam, dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan terjebak dalam kancah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.