3 nelayan Rohingya ditahan APMM P Pinang

3 nelayan Rohingya ditahan APMM P Pinang

Nelayan terbabit ditahan kerana melanggar syarat sah dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel.

Pemeriksaan APMM mendapati bot nelayan milik warga tempatan dengan nombor pendaftaran yang sah itu dikendalikan tiga kru warga asing termasuk tekongnya. (Gambar Facebook APMM)
GEORGE TOWN:
Tiga nelayan warga Rohingya ditahan bersama sebuah bot nelayan tempatan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di kedudukan 7.3 batu nautika tenggara Pulau Rimau, pada Jumaat.

Pengarahnya, Abd Razak Mohamed berkata mereka yang merupakan etnik Rohingya berusia 24 hingga 33 tahun itu ditahan pada jam 6.30 petang kerana melanggar syarat sah dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel.

“Pemeriksaan kami mendapati bot nelayan milik warga tempatan dengan nombor pendaftaran yang sah itu dikendalikan tiga kru warga asing termasuk tekongnya yang semua mereka memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

“Namun mereka tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia. Mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa surat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.