Kerja kilang guna kad pengenalan orang lain, 31 remaja ditahan

Kerja kilang guna kad pengenalan orang lain, 31 remaja ditahan

Seramai 16 lelaki dan 15 perempuan bawah umur itu menggunakan kad pengenalan termasuk milik ahli keluarga untuk mendapat kerja di sebuah kilang kotak.

Remaja paling muda yang ditahan berusia 14 tahun, menurut Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Sebanyak 31 remaja tempatan bawah umur ditahan selepas dipercayai bekerja secara separuh masa dengan menggunakan kad pengenalan orang lain di sebuah kilang kotak di Taman Teknologi Johor, Senai di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata hasil siasatan mendapati kesemua mereka iaitu 16 lelaki dan 15 perempuan, menggunakan kad pengenalan termasuk milik ahli keluarga bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata sebahagian daripada mereka didapati telah berhenti sekolah seawal usia 12 tahun dan sebahagiannya pula masih bersekolah dengan memberikan alasan bekerja di kilang itu ketika cuti persekolahan.

“Kesemua remaja yang ditahan ini berusia di bawah 18 tahun dan paling muda adalah 14 tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohammad Khairu Farhan berkata mereka merupakan antara 117 individu termasuk 86 warga asing yang ditahan di kilang berkenaan, menerusi Ops Kotak hasil kerjasama JPN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri.

Beliau berkata operasi itu melibatkan 56 anggota penguat kuasa dari JPN Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta 30 penguat kuasa JIM.

“Kesemua 86 warga asing terdiri daripada 67 wanita dan 19 lelaki termasuk dari Indonesia dan Filipina itu, didapati turut menggunakan kad pengenalan orang lain dan kad pengenalan palsu yang dipercayai diperoleh daripada ejen di negara masing-masing,” katanya.

Mohammad Khairu Farhan berkata mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat JPN di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Peraturan 25(1) (E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.