
Kementerian yang mendedahkan hasil siasatan berhubung kejadian itu berkata, siasatan turut mendapati terdapat pekerja, terutamanya di bahagian penghantaran, yang tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral, yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.
“Majikan digesa sentiasa mengadakan perbincangan dengan pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan pekerja.
“Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, J&T Express memohon maaf kepada pelanggan berhubung video tular yang memaparkan pekerjanya mogok dengan melemparkan bungkusan milik pelanggan.
Dalam video berdurasi 15 saat itu, pekerja syarikat berkenaan di Perak dipercayai bertindak sedemikian sebagai “isyarat” kepada pihak pengurusan bahawa mereka tidak berpuas hati berhubung isu komisen dan gaji.
J&T, dalam maklum balasnya bagaimanapun berkata, syarikat itu komited dalam membangunkan sistem pampasan dan faedah lengkap bagi pekerja, seterusnya memberikan pembayaran bonus akhir tahun kepada pekerja setelah membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus, dan undang-undang perburuhan Malaysia.