Perjanjian Kolektif beri faedah, gaji lebih adil, kata Sim

Perjanjian Kolektif beri faedah, gaji lebih adil, kata Sim

Menteri sumber manusia berkata CA lindungi pekerja dan majikan yang jadi asas hubungan industri yang harmoni dan produktif.

stevie g
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menyantuni pekerja ketika lawatan kerja ke Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) di Shah Alam hari ini. (Gambar Kesuma)
PETALING JAYA:
Kadar gaji minimum bukanlah satu-satunya penanda aras kebajikan pekerja sebaliknya Perjanjian Kolektif (CA) adalah instrumen yang lebih komprehensif dan fleksibel untuk merunding faedah serta gaji yang adil, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Sim berkata CA juga mempunyai kekuatan undang-undang di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di mana majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan.

“Ia juga memberikan perlindungan undang-undang kepada pekerja dan majikan yang menjadi asas kepada hubungan industri yang harmoni dan produktif,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan kerja ke Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) di Shah Alam hari ini.

Lawatan itu adalah pertemuan ke-27 beliau bersama PONSB sejak dilantik sebagai menteri sumber manusia dan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dan akar umbi pekerja industri.

Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa agenda kebajikan, kemahiran dan keberhasilan melalui pendekatan tripartit bersama kesatuan dan majikan.

Sebagai tanda sokongan kepada pemodenan pengurusan kesatuan, Kementerian Sumber Manusia menyalurkan geran berjumlah RM25,000 kepada PONSB tahun ini, di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, melibatkan pelaksanaan latihan dan pembelian peralatan ICT.

Dalam pertemuan itu, Sim juga turut menyentuh beberapa inisiatif utama kerajaan termasuk pelaksanaan dasar gaji progresif dan pelancaran Kad Pekerja Madani yang telah mendaftarkan lebih 58,000 ahli kesatuan sehingga kini.

“Kad ini membuka akses kepada pelbagai manfaat termasuk diskaun barangan keperluan, perkhidmatan kesihatan dan peluang latihan kemahiran.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membina ekosistem pekerjaan yang lebih adil, inklusif dan progresif, berasaskan kerjasama kukuh antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.