
Syarikat itu berkata bagi menyokong pekerja yang terjejas dengan langkah itu, program peralihan menyeluruh disediakan, dan memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, beretika dan profesional.
“Pekerja yang terkesan akan menerima pakej pemisahan yang kompetitif di pasaran – melebihi keperluan minimum mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Petronas juga memaklumkan bahawa selain bantuan kewangan, pekerja yang terlibat akan menerima sokongan emosi, bimbingan kerjaya dan bantuan pencarian pekerjaan, panduan perancangan kewangan, serta akses kepada program bantuan perubatan, peningkatan kemahiran dan latihan semula.
“Pakej dan manfaat disusun berdasarkan tempoh perkhidmatan pekerja dan mungkin berbeza mengikut kategori serta kelayakan pekerja,” tambah kenyataan itu.
Khamis lalu, Presiden dan CEO kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz, mengumumkan syarikat itu akan mengurangkan lebih 5,000 pekerja dalam usaha menjimatkan kos berikutan kejatuhan harga minyak mentah.
Katanya, mereka yang terkesan akan dimaklumkan secara berperingkat hingga tahun depan, manakala pembekuan pengambilan pekerja berkuat kuasa sehingga Disember 2026.
Hari ini, Petronas berkata pihaknya menubuhkan majlis peralihan dan jawatankuasa pembangunan pekerja bagi memudah cara pemetaan bakat serta memastikan keputusan penempatan dibuat secara kolektif berasaskan platform yang ditetapkan.
“Proses ini juga mematuhi keperluan undang-undang dan mengguna pakai amalan hubungan industri yang sewajarnya,” kata syarikat itu.
Katanya, pihaknya berhubung dengan jabatan berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan perundangan.
Petronas juga bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui platform MyFutureJobs untuk meneroka peluang penempatan bagi pekerja yang layak dalam sektor lain.
Menurut syarikat itu, penempatan kakitangan yang terkesan dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain, termasuk syarikat minyak dan gas, turut sedang diteroka.
“Sebagai tambahan, program keusahawanan syarikat di bawah Petronas Innovation Garage menawarkan laluan berpandu ke arah pemilikan perniagaan bagi mereka yang ingin meneroka kerjaya alternatif,” katanya.