KKM perlu sukarelawan 60 tahun ke atas untuk kajian vaksin Covid-19

KKM perlu sukarelawan 60 tahun ke atas untuk kajian vaksin Covid-19

Kementerian Kesihatan memaklumkan sekitar 350 hingga 450 warga emas diperlukan bagi kajian yang turut menguji keberkesanan serta keselamatan vaksin bagi golongan berkenaan.

KKM turut memaklumkan kajian itu merupakan kerjasama Institut Perubatan Biologi, Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan pihaknya. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Warga emas berusia 60 tahun ke atas diperlukan sebagai sukarelawan bagi menyertai kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi akaun media sosial rasmi Facebook dan Twitter, memaklumkan sekitar 350 hingga 450 warga emas diperlukan bagi kajian itu yang akan turut menguji keberkesanan serta keselamatan vaksin bagi golongan berkenaan.

“Kami mengalu-alukan sukarelawan warga emas yang berminat untuk menyumbang dalam pembangunan vaksin Covid-19,” menurut hantaran itu.

KKM memaklumkan individu yang berminat boleh menghubungi sembilan hospital yang terlibat iaitu Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultan Abdul Halim.

KKM turut memaklumkan kajian itu merupakan kerjasama Institut Perubatan Biologi, Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan pihaknya.

Menerusi hantaran sama, KKM berkata 8,162 individu berusia 18 tahun ke atas sudah menghubungi sembilan hospital berkenaan untuk menjadi sukarelawan dalam percubaan klinikal itu, setakat Selasa lepas.

“Seramai 1,512 sukarelawan atau 50% telah bersetuju untuk menyertai kajian ini, manakala 38% sukarelawan telah menerima dos pertama vaksin kajian atau plasebo,” menurut hantaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.