
Usul itu dikemukan naib presiden parti, C Sivarraajh susulan laporan mengenai masalah sosial yang dihadapi oleh orang India di Malaysia.
Sivarraajh memetik laporan itu sebagai berkata, 72% anggota geng atau 28,926 orang yang dikenal pasti di Malaysia adalah komuniti India.
Menurut laporan oleh Science and Wellness Organisation, masyarakat India juga mempunyai kadar gangsterisme tertinggi di negara ini.
Beliau mendesak polis mempertimbangkan untuk menghidupkan kembali tiga pasukan elit yang telah dibubarkan iaitu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi, dan Gangsterisme (STAGG) serta Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).
Pasukan elit ini, katanya, menunjukkan kesan segera sebaik ditubuhkan, tetapi dibubarkan berikutan desas-desus bahawa mereka bersekongkol dengan samseng, walaupun dinafikan menteri dalam negeri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Sivarraajh berkata, kembalinya tiga pasukan ini “turut akan memperkukuh pasukan polis untuk memerangi jenayah yang membimbangkan iaitu jenayah terancang, bukan hanya dalam kalangan masyarakat India tetapi semua komuniti lain”
Beliau turut mencadangkan penambahan jumlah pengambilan pegawai India ke jabatan siasatan khas atau D9 bagi membantu mendapatkan gambaran yang lebih baik dan komprehensif mengenai pembabitan komuniti India dalam gangsterisme.
Selain itu, beliau menyarankan kementerian dalam negeri serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard polis melakukan siasatan terhadap “kebocoran” dalam komuniti polis hingga menyebabkan gangsterisme semakin berkembang.
“Sekiranya kita tidak dapat mengawal kebocoran dalam lingkungan jabatan tersebut, maka tiada gunanya membicarakan masalah jenayah terancang,” katanya.
Kementerian dalam negeri dan polis turut digesa untuk bekerjasama dengan kementerian pendidikan bagi mengenal pasti pelajar yang menunjukkan kecenderungan untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan jenayah.