SKMM beri amaran keras buat syarikat kurier, minta perbaiki tatacara pengendalian bungkusan

SKMM beri amaran keras buat syarikat kurier, minta perbaiki tatacara pengendalian bungkusan

Syarikat kurier berkenaan diarah memberi penjelasan, ambil langkah perlu bagi memperbaiki tatacara pengendalian bungkusan pelanggan.

SKMM turut menyeru pengguna mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penghantaran.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi amaran keras kepada pengurusan syarikat kurier yang terbabit dalam insiden pekerjanya bertindak membaling bungkusan pelanggan hingga tular di media sosial baru-baru ini.

SKMM dalam kenyataan berkata, selain amaran keras, syarikat kurier itu juga diarah memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan dan mengambil langkah perlu bagi memperbaiki tatacara pengendalian bungkusan pelanggan mereka.

“SKMM ingin mengingatkan semua syarikat kurier berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 agar sentiasa mematuhi syarat-syarat dan peraturan ditetapkan terutama dalam melindungi hak pengguna bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak diambil ke atasnya,” katanya.

Pada 7 Feb lalu, J&T Express memohon maaf susulan video tular pekerjanya melemparkan barangan milik pelanggan. Syarikat itu berkata insiden tersebut berpunca daripada sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan pegawai jabatan, bukannya isu mogok seperti dibangkitkan di media sosial.

J&T dalam maklum balasnya berkata syarikat itu juga komited membangunkan sistem pampasan dan faedah lengkap bagi pekerja, seterusnya memberikan pembayaran pekerja akhir tahun setelah membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus, dan Undang-Undang Perburuhan Malaysia.

Tambah SKMM, sekiranya pemegang lesen didapati ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, mereka boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

SKMM turut menyeru pengguna mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penghantaran. Bahkan, pengguna juga perlu menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan.

“Ia sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran.

“Bahkan, sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan resolusi ditawarkan, permohonan rayuan boleh dikemukakan kepada SKMM di https://aduan.skmm.gov.my/ berserta maklumat lengkap supaya siasatan dan tindakan susulan boleh diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.