Lelaki bergelang putih langgar kuarantin untuk sabung ayam

Lelaki bergelang putih langgar kuarantin untuk sabung ayam

Lima termasuk seorang yang menjalani pengawasan dan kuarantin di rumah berdepan kompaun kerana melanggar syarat PKP.

Semasa ditahan lelaki berusia 46 tahun itu didapati memakai gelang putih di tangan kiri dengan tarikh ujian calitan Covid-19 pada 7 Feb. (Gambar Bernama)
SIBU:
Seorang lelaki yang memakai gelang pengawasan dan kuarantin di rumah adalah antara lima yang ditahan polis dalam serbuan di kawasan lapang di Lorong 22 Sibu Jaya di sini kerana disyaki terlibat judi sabung ayam, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit berkata, semasa ditahan lelaki berusia 46 tahun itu didapati memakai gelang putih di tangan kiri dengan catatan tarikh ujian calitan Covid-19 pada 7 Feb, 8 pagi di Klinik Kesihatan Sibu Jaya.

“Berdasarkan siasatan awal, pada 12.30 tengah hari, suspek keluar dari rumahnya untuk menyertai sabung ayam di lokasi tersebut. Keterangan lelaki ini telah direkodkan dan dia dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan perintah kuarantin di rumah ke atasnya masih berkuat kuasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata ujian calitan Covid-19 ke atas empat lagi suspek berusia antara 23 dan 46 tahun yang dibuat di Hospital Sibu mendapati mereka negatif wabak berkenaan dan kini direman untuk siasatan lanjut.

Katanya, mereka juga akan dikenakan kompaun kerana melanggar syarat PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.