
Beliau berkata, picagari jenis itu diperlukan dan bersesuaian untuk vaksin berkenaan kerana mampu mengelakkan pembaziran serta memaksimumkan jumlah dos yang akan diberikan khususnya pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 26 Feb ini.
“Pemberian vaksin perlu dibuat dengan teliti kerana kita perlu elakkan pembaziran dan picagari ini juga memenuhi spesifikasi yang diminta oleh syarikat Pfizer,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan satu juta peralatan perlindungan diri (PPE) daripada Eu Smart Solution Holdings Sdn Bhd.
Picagari “low dead-volume” amnya merujuk kepada picagari sifar pembaziran, sekali gus memastikan penerima suntikan menerima keseluruhan dos vaksin yang diperlukannya.
Sabtu lepas, Adham dilaporkan berkata KKM memerlukan 12 juta picagari jenis itu bagi membuat suntikan terhadap 20% atau enam juta penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Sementara itu, Adham berkata picagari berkenaan akan ditempatkan di semua lokasi pemberian vaksin yang dikenal pasti di seluruh negara.
“Untuk pemberian vaksin ini, kita perlu ada peralatan selengkapnya dan saya yakin dengan semua persiapan yang ada, kita akan dapat laksanakan pemberian vaksin dengan cermat yang seterusnya dapat lindungi masyarakat daripada Covid-19,” katanya.
Adham berkata, sebanyak 6,542,418 ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen telah dijalankan sejak 24 Jan 2020 sehingga 6 Feb.
Beliau berkata, ujian dijalankan itu telah membantu KKM dalam mengesan kes positif dengan pantas serta membolehkan pengesanan kontak dibuat dengan cepat.
“Saya memohon mereka yang ada kontak rapat dengan kes positif untuk memberikan maklumat lengkap kepada pejabat kesihatan daerah bagi membolehkan tindakan memutuskan transmisi Covid-19 dapat dijalankan,” katanya.