
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata polis mengesan kegiatan individu yang menunggang basikal di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan Jalan Merbok dan tindakan mereka itu boleh dikompaun kerana gagal mematuhi SOP mencegah penularan Covid-19.
“Kayuhan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah berseorangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata merujuk SOP PKP 2.0 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), aktiviti berbasikal hanya dibenarkan berseorangan dan kayuhan tidak melebihi 10 kilometer dari tempat tinggal.
Namun, katanya setakat ini polis belum mengeluarkan sebarang kompaun kepada penunggang basikal yang didapati tidak patuh SOP ketika beriadah.
“Buat masa ini, kami melakukan pemantauan terhadap pelanggaran SOP itu dan jika masih berterusan tindakan kompaun akan dikenakan,” katanya.