Kumpulan perniagaan rayu dibenar operasi sempena Tahun Baru Cina

Kumpulan perniagaan rayu dibenar operasi sempena Tahun Baru Cina

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka membentangkan cadangan mereka kepada MKN.

Peruncit dan perniagaan lain mahu cuba menghabiskan bekalan bermusim mereka dan mengurangkan kerugian dijangkakan.
PETALING JAYA:
Kumpulan perniagaan merayu kerajaan membenarkan mereka beroperasi menjelang sambutan Tahun Baru Cina ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Kumpulan itu menerusi kenyataan bersama menggesa SOP ditetapkan untuk membolehkan semua perniagaan, khasnya yang menjual pakaian, aksesori dan kasut, beroperasi semula dan pelanggan dibenarkan makan di restoran.

Katanya, mereka sudah menyerahkan surat rayuan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 5 Feb lalu, yang bersetuju membincangkan perkara itu dalam mesyuarat dalam talian semalam.

“Kami bersungguh-sungguh menyuarakan kepentingan perkara ini disebabkan tempoh singkat untuk mengadakan jualan untuk perayaan Tahun Baru Cina supaya peruncit kami dan perniagaan lain boleh cuba menghabiskan bekalan bermusim mereka dan mengurangkan kerugian dijangkakan.”

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP akan membentangkan cadangan dipersetujui untuk mendapatkan kelulusan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) seterusnya yang dijangka diadakan dalam beberapa hari lagi.

Kerajaan dikritik berhubung SOP Covid-19 bagi perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut 12 Feb ini, dengan ahli politik dan individu lain mendakwa tidak perlu serta tidak peka budaya, dan mahu ia dibetulkan.

Antara lain, SOP itu mengehadkan makan besar pada malam Tahun Baru Cina hanya untuk ahli keluarga serumah. Makan malam itu ialah aspek penting dalam perayaan berkenaan.

Susulan itu, Kementerian Perpaduan Negara berkata, ia akan membangkitkan pandangan dan rayuan masyarakat Cina kepada MKN, dengan sebarang perubahan akan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.