Badan Peguam gesa imbangkan hak kebebasan bersuara dan perbicaraan adil

Badan Peguam gesa imbangkan hak kebebasan bersuara dan perbicaraan adil

Presidennya Salim Bashir berkata undang-undang berhubung sub judice dan penghinaan mahkamah perlu dikanunkan, bagi kenyataan dibuat berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung.

Presiden Badan Peguam Salim Bashir berkata, memoir Tommy Thomas mendesak undang-undang sub judice yang dikanunkan.
PETALING JAYA:
Badan Peguam menggesa undang-undang berhubung sub judice dan penghinaan mahkamah dikanunkan susulan kontroversi berhubung memoir tulisan bekas peguam negara Tommy Thomas.

Presidennya, Salim Bashir berkata, beberapa orang mendakwa bahawa buku itu mengandungi kenyataan sub judice atau menghina mahkamah berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung.

Antara yang disebut termasuk kes Cradle Fund dengan isteri seorang CEO didakwa membunuhnya; kes bunuh Altantuya Shaariibuu yang melihat bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan tuduhan saman; dan kes melibatkan seorang pengerusi pusat timbang tara.

Beberapa laporan polis juga telah difailkan terhadap Thomas dan penerbitnya.

Salim berkata, Badan Peguam menyokong hak untuk kebebasan bersuara, tetapi ia tidak patut menjejaskan kewibawaan mahkamah atau pentadbiran keadilan.

“Dengan pelbagai komen spontan dan pandangan di platform media sosial berhubung perbicaraan dan rayuan yang masih berlangsung, orang ramai mungkin tidak faham sejauh mana mereka dihadkan berbuat demikian,” katanya.

“Komen awam seperti itu berupaya menjejaskan penyelesaian kes secara adil dan saksama di mahkamah mengikut undang-undang.

“Badan Peguam dengan itu mengulangi gesaan supaya kerajaan mengkanunkan undang-undang berhubung kenyataan sub judice dan menghina mahkamah, selain menyediakan huraian jelas serta nyata mengenai konsep perundangan ini.”

Ketika masih menjadi peguam negara, Thomas berkata dalam ucapan pada 2018 beliau tidak percaya pada konsep sub judice (prinsip yang melarang orang awam mengulas kes yang sedang berlangsung) kerana Malaysia tidak mengamalkan sistem juri.

Salim berkata, wujud “garis pemisah yang halus tetapi penting” untuk mengulas mengenai sesuatu kes berbanding mempengaruhi pandangan orang terhadap kes berkenaan. Katanya, kedaulatan undang-undang mewajibkan semua orang mendapat perbicaraan yang adil.

Semalam, seorang hakim mahkamah tinggi dimaklumkan prosiding menghina mahkamah mungkin dimulakan terhadap Thomas kerana kenyataannya melibatkan kes pembunuhan ketua pegawai eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, yang dihadapi isterinya, Samirah Muzaffar.

Peguam Samirah, Muhammad Shafee Abdullah berkata, Thomas membuat kenyataan sub judice berhubung penjelasan dibuat Samirah berhubung apa yang berlaku pada hari kejadian, dan susulan itu pihaknya mahu memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Thomas.

Dalam memoir bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, Thomas menceritakan kejadian yang berlaku ketika menjadi peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020. Buku diterbitkan pada 30 Jan lalu itu kini disiasat kementerian dalam negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.