
Pensyarah Kanan Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan harus sentiasa memantau suasana ekonomi semasa.
“Jika ada keperluan untuk menambahkan peruntukan dalam pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) serta Belanjawan 2021 maka inilah yang harus dilakukan,” katanya kepada FMT.
Pada 2 Feb kerajaan mengumumkan PKP, yang dijadualkan berakhir 4 Feb lalu dilanjutkan hingga 18 Feb. Awalnya ia dirancang untuk tempoh 13 Jan hingga 26 Jan, tetapi dilanjutkan selama sembilan hari hingga 4 Feb.
Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata Tahun Baharu Cina kebiasaannya akan memberi peluang kepada perniagaan untuk melariskan jualan mereka.
Bagaimanapun, sambutan perayaan itu kali ini (12 Feb) tidak dapat membantu peniaga kerana negara berada bawah pelaksanaan PKP 2.0.
“Jika kita merujuk kepada anggaran yang diberi oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, PKP akan menyebabkan negara kerugian RM700 juta sehari bermakna pelanjutan PKP selama 14 hari akan menyebabkan negara kerugian RM9.8 billion.
Ahmed Razman berkata, kerajaan juga perlu memberi fokus memastikan lebih ramai yang mendapat pekerjaan melalui Penjana Kerjaya dan MyStep.
Katanya, sektor ekonomi yang terpaksa ditutup pula perlu dibantu dari segi dana untuk menampung kos operasi sepanjang tempoh penutupan.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Profesor Adjung Universiti Perdana Mohd Yusof Kasim berkata, pertumbuhan ekonomi negara akan lebih rendah daripada yang diunjurkan dan rakyat menerima kesan negatif seperti hilang pekerjaan, kurang atau tiada pendapatan sama sekali manakala masalah sosial dan tekanan emosi meningkat.
“Oleh itu, semua sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi walaupun dengan SOP ketat dan teruskan bantuan kepada gologan yang hilang pekerjaan. Misalnya sambung moratorium bagi golongan bersasar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan metutup ekonomi tetapi akan memperketatkan SOP untuk menghalang penularan Covid-19.