
Ketua Polis Kedah Hasanuddin Hassan berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen kekerasan, kecuaian, salah laku pegawai dan anggota yang terlibat selain kecederaan yang mungkin berlaku akibat pergelutan semasa tangkapan.
“Sehingga kini 47 orang telah dipanggil dan dirakam percakapan. Mereka adalah ahli keluarga, pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam tangkapan serta pegawai dan anggota polis yang menjaga lokap.
“(Turut dirakam percakapan) OKT lain yang ada bersama di dalam lokap semasa arwah ditahan dan juga pegawai perubatan Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah, di sini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, OKT itu, Muhammad Afis Ahmad ditahan pada 27 Jan lepas bawah Seksyen 379 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan berkaitan kes curi dan menyamar sebagai anggota polis.
Menurut Hasanuddin, ketika tangkapan dibuat lelaki itu bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis, yang menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian muka, telinga dan dahi.
“Pada 12.30 tengah malam 28 Jan arwah didapati tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Yan. Pada 1.10 pagi arwah telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.
Beliau berkata, pada 29 Jan, bedah siasat dijalankan oleh pakar pathologi Hospital Sultanah Bahiyah, yang mengenal pasti punca kematian disebabkan oleh “blunt force trauma” di bahagian kepala, bagaimanapun laporan penuh bedah siasat itu belum diperoleh.
Katanya, OKT itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai sukarelawan polis di IPD Kuala Muda antara 2013 dan 2014 sebelum ditamatkan perkhidmatan kerana terlibat penyalahgunaan dadah.
“Arwah juga sebelum ini pernah ditangkap sebanyak lapan kali atas kesalahan dadah dan jenayah serta pernah dikenakan hukuman oleh mahkamah. Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.