
“Kami menunggu rumah ini siap seperti orang bodoh.
“Mereka (PR1MA ) beri kami harapan palsu dan asyik menukar tarikh projek siap, macam tukar lampin bayi saja,” kata Mohamad Razi, 30.
Projek itu pada asalnya dijadualkan siap Januari 2020, beberapa perubaan tarikh – sebahagiannya akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) – menyebabkan tarikhnya ditunda ke Oktober dan kemudiannya Januari tahun ini.
Isnin lalu, PR1MA memaklumkan projek itu hanya akan siap sepenuhnya 31 Mac ini. Sehari kemudian, pembeli dikejutkan dengan pengumuman terbaru dari pemaju, tarikh itu ditunda ke April biarpun sudah siap 99%.
Berpuluh-puluh pembeli menyuarakan keluhan mereka di Facebook Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ketika Menterinya, Zuraida Kamaruddin berucap secara langsung dalam talian.
Pembeli berkata, mereka hilang keyakinan terhadap projek itu kerana banyak perubahan tarikh projek disiapkan dan kurang komunikasi oleh PR1MA.
Mereka bukan hanya dibebani bayaran bulanan pinjaman perumahan, tetapi juga mempunyai komitmen lain, termasuk sewa rumah yang didiami sekarang. Justeru, mereka menggesa kementerian untuk campur tangan dan menyelesaikan masalah itu.
Tidak terkira, hilang kepercayaan
Razi yang bekerja di Singapura berkata, beliau terpaksa menanggung beban untuk pembayaran tiga rumah, iaitu tempat tinggal di Singapura, rumah yang didiami keluarganya di Johor sekarang dan pinjaman bagi unit Residensi Tebrau.
“Saya dah tak boleh kira berapa kali mereka tukar tarikh. Macam kita main nomborlah. Nombor kita tak kena.
“Saya kecewa dengan menteri kita dan PR1MA. Saya tak boleh percaya apapun yang mereka cakap. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaan saya mengenai mereka. Saya sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan.”
Melabelkan PR1MA sebagai entiti “tidak mengotakan janji”, Nur Izliyana Mohd Zin berkata, beliau menunggu kunci rumahnya sejak tiga tahun lalu.
“Tarikh siap di laman web PR1MA asyik berubah dan kami semau terjejas kerana kami perlu bayar untuk dua rumah.
“Sebab itulah kami komen di ‘live feed’ tersebut. Kami mahu menteri tahu. Kami sudah buntu. Gaji kami tak banyak, jadi janganlah buat begini kepada kami. Kasihanilah pembeli seperti kami, terutamanya ketika pandemik.”

Bayaran ganti rugi bermula
Residensi Tebrau merupakan satu daripada lima projek PR1MA di Johor. Dibina atas tanah rizab Melayu seluas 4.3 hektar yang terdiri daripada 1,284 unit rumah dengan tiga keluasan berbeza daripada 757 sehingga 1,053 kaki persegi.
Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Nazri Md Shariff berkata, RM28 juta diperuntukkan untuk membayar ganti rugi kepada pembeli atas kelewatan penyerahan rumah berdasarkan perjanjian jual beli.
Antara mereka yang menerima pembayaran itu dalam bentuk Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) ialah seorang pembeli berusia 34 tahun yang menerima RM7,200 pada 5 Nov lalu, dengan baki RM20,000 akan dibayar selepas
Serahan Milikan Kosong (VP), apabila projek itu siap, namun belum layak diduduki.
Lelaki itu, yang tidak mahu dinamakan, berkata kebanyakan pembeli mengeluarkan kira-kira RM2,000 setiap bulan untuk membayar pinjaman perumahan bagi unit mereka di Residensi Tebrau dan sewa rumah yang diduduki mereka sekarang.
“Ramai yang marah. Ia menyedihkan. Ada pesara yang menggunakan wang pencen untuk membayar rumah ini,” katanya sambil menegaskan kebanyakannya ialah pembeli rumah pertama.
Katanya, beliau tidak mendapat moratorium pinjaman enam bulan ketika PKP tahun lalu dan terpaksa mencari kerja sambilan untuk menanggung keperluan bulanan.
Seorang lagi pembeli, Mohamad Isamuddin Isa berkata, ada pembeli yang membeli unit mereka seawal 2016 dan dijanjikan serahan kunci pada 2018.
Pertukaran kerajaan, kontraktor tidak dibayar
PR1MA dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selepas pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum 2018.
Isamuddin percaya, ia antara faktor kelewatan projek itu disiapkan.
“Projek itu telah siap 99% dan PR1MA memaklumkan mereka menunggu sijil siap dan pematuhan (CCC) daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru. Jadi, kami tidak faham kenapa ianya mengambil masa sehingga April?
“Ini projek kerajaan dan mereka boleh mempercepatkan proses kalau mahu. Kami telah menunggu begitu lama dan saya bimbang jika pilihan raya diadakan tidak lama lagi dan kerajaan sekali lagi bertukar, kami terpaksa menunggu lebih lama.”
Seorang lagi pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Yazid mendakwa projek itu terhenti kerana kontraktor tidak dibayar.
“Siapa yang nak bekerja keras tanpa bayaran? Kontraktor tidak dibayar, itu sebabnya kerja tidak siap untuk projek ini.”
FMT cuba menghubungi Zuraida dan pejabat PR1MA untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.