PKR fail permohonan cabar pengurangan bayaran bon Zuraida

PKR fail permohonan cabar pengurangan bayaran bon Zuraida

Peguam Navpreet Singh berkata PKR sedang berusaha mengembalikan semula jumlah asal sebanyak RM10 juta.

Tahun lalu Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida Kamarudin langgar syarat bon parti namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.
PUTRAJAYA:
PKR memfailkan permohonan ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 susulan tindakan melanggar syarat bon parti itu.

Peguam PKR, Navpreet Singh berkata kepada Bernama, parti itu telah mengemukakan permohonan pada 8 Jan lalu dan notis usul telah diserahkan kepada peguam Zuraida.

Beliau berkata, PKR sedang berusaha untuk mengembalikan semula jumlah asal sebanyak RM10 juta.

“Pengurusan kes ditetapkan pada 10 Feb ini,” katanya sambil menambah PKR telah mengemukakan 12 persoalan undang-undang.

Pada 11 Dis tahun lalu, panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Zuraida yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang membayar RM10 juta selepas memutuskan memihak kepada PKR dalam saman terhadapnya.

Hakim Akhtar Tahir mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 bagi pihak parti untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bos yang mengikatnya kepada parti.

Dalam terma dan syarat bon, antara lain Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa kejadian selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR termasuk jika beliau meletak jawatan dari parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon parti itu dalam RU14 pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.