Buku Thomas cerminkan pemikiran dangkal, pengalaman singkat beliau, kata Idrus Harun

Buku Thomas cerminkan pemikiran dangkal, pengalaman singkat beliau, kata Idrus Harun

Idrus Harun juga menzahirkan keyakinan sepenuhnya terhadap pegawai undang-undang yang menjadi sasaran Tommy Thomas dalam buku "My Story: Justice In The Wilderness".

PETALING JAYA:
Peguam Negara Idrus Harun menyifatkan buku tulisan Tommy Thomas sebagai penghinaan ketara kepada institusi perundangan negara selain menjejaskan moral dan semangat pegawai undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Idrus juga menzahirkan keyakinan sepenuhnya terhadap pegawai undang-undang yang menjadi sasaran Thomas dalam bukunya, “My Story: Justice In The Wilderness”.

“Saya tiada keraguan mengenai kebolehan, kemahiran, komitmen, dan dedikasi pegawai undang-undang dalam memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan adil dan saksama tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.

Idrus tidak terpengaruh dengan kandungan buku Thomas itu yang “jelas menunjukkan pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam, terutamanya Jabatan Peguam Negara dan fungsi peguam negara itu sendiri.”

Semalam, Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) menyelar Thomas kerana dilihat menghina pegawai undang-undang secara keseluruhan dalam buku itu.

Menurut JALSOA, kenyataan Thomas menggelarkan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara sebagai hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran bersifat dangkal dan tidak bertamadun.

Idrus berkata pegawai undang-undang mempunyai rekod membanggakan dalam menegakkan keadilan.

“Malah saya amat berbangga, sejak buku itu dikeluarkan, pegawai Jabatan Peguam Negara memperoleh keputusan kes berprofil tinggi yang memihak kerajaan.

“Ini jelas menunjukkan kebolehan dan keupayaan pegawai undang-undang dalam mengendalikan kes-kes mahkamah adalah standing, malah lebih baik daripada peguam swasta,” tambah beliau.

Idrus amat berbangga dengan kebolehan dan dedikasi pegawai undang-undang yang bertindak cemerlang dalam menangani isu-isu yang dihadapi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.