Bom lama masih aktif ditemui penduduk kampung di Sabah

Bom lama masih aktif ditemui penduduk kampung di Sabah

Bahan letupan lama itu kemudiannya dibawa ke Lapang Sasar PDRM di Lok Kawi untuk dilupuskan.

Bom jenis UXO yang ditemui di Kampung Mengkadang, Kolombong di Kota Kinabalu pagi tadi. (Gambar PDRM)
KOTA KINABALU:
Sebutir bom lama yang dipercayai masih aktif ditemui di penduduk Kampung Mengkadang, Kolombong, di sini.

Penduduk kampung kemudiannya memaklumkan polis berhubung penemuan bom itu kira-kira 10.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Bom lama jenis UXO dengan berat hampir 25kg itu kemudian dibawa ke Lapang Sasar PDRM, Lok Kawi untuk pelupusan.

“Proses pemusnahan bom dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menasihatkan orang ramai yang menemui sebarang objek mencurigakan atau dipercayai bom supaya segera memaklumkan balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mengusik, mengalih atau menggerakkan objek berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.