120 ‘buggy’ Kelab Golf Seriemas musnah terbakar

120 ‘buggy’ Kelab Golf Seriemas musnah terbakar

Bomba menerima laporan kejadian itu pada 2.37 pagi.

Kebakaran dilaporkan dapat dikawal sepenuhnya pada 3.23 pagi dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan. (Gambar Bernama)
NILAI:
Sebanyak 120 kereta ‘buggy’ musnah dijilat api dalam kebakaran membabitkan kawasan penyimpanan kenderaan itu di Kelab Golf Seriemas, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bomba menerima laporan kejadian pada 2.37 pagi.

Beliau berkata, susulan laporan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera “water tanker” bersama 35 pegawai dan anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin dan Seremban 2, dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 3.23 pagi dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan. Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pengawal keselamatan kelab golf berkenaan, Shamrasizu Shamsuddin yang merupakan saksi kejadian berkata beliau terdengar letupan kuat di bahagian tingkat bawah kelab golf semasa membuat rondaan awal pagi tadi.

“Saya bersama rakan sekerja melakukan pemeriksaan lanjut dan mendapati api mula marak di bahagian tingkat bawah bangunan.

“Api merebak dengan pantas dan kawasan itu dipenuhi asap tebal. Saya dalam keadaan cemas terus memaklumkan kepada penyelia yang kemudian menghubungi talian kecemasan MERS999,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.