
Cadangan itu disampaikan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid yang membuat tinjauan ke dua tapak “food truck” itu, malam semalam dan pengusaha menyatakan rasa sukar untuk mengekalkan momentum perniagaan dalam tempoh mencabar sekarang.
Rosol dalam kenyataan berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada menterinya Alexander Nanta Linggi untuk dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan penilaian dilakukan dan langkah sewajarnya diambil bagi mengatasi isu tersebut.
“Saya yakin, sebagai kerajaan yang prihatin, pihak yang berwajib akan memperhalusi cadangan berkenaan kerana isu bebanan survival perniagaan khususnya bagi peniaga kecil bukan hanya berlaku di Putrajaya, tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sepatutnya tamat pada 4 Feb, dilanjutkan hingga 18 Feb di seluruh negara kecuali di Sarawak, berikutan berlaku trend peningkatan kes baharu Covid-19 di semua negeri.
Kerajaan membenarkan kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran makanan untuk beroperasi hingga 10 malam bermula 22 Jan lepas, bagaimanapun aktiviti makan di kedai masih tidak dibenarkan dan hanya pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu dibenarkan.