Politik didorong dasar cara terbaik ke hadapan, kata pakar

Politik didorong dasar cara terbaik ke hadapan, kata pakar

Perubahan secara sistemik akan membawa kepada penggubalan dasar yang lebih baik, dan seterusnya membolehkan pengundi memahami apa yang boleh diharapkan dari sebuah kerajaan.

PETALING JAYA:
Politik yang didorong dasar yang baik seharusnya menjadi sasaran Malaysia, bukan sekadar mengumpul jumlah kerusi yang cukup untuk memerintah, kata seorang saintis politik AS.

Meredith Weiss, seorang profesor di Universiti New York State, mencadangkan perubahan secara sistemik akan membawa kepada penggubalan dasar yang lebih baik, dan seterusnya membolehkan pengundi memahami apa yang boleh diharapkan dari sebuah kerajaan.

“Perubahan kerajaan semata-mata adalah tidak mencukupi, ia perlu lebih dari itu,” katanya pada sidang maya anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.

“Sama ada mengundi untuk Pakatan Harapan atau Donald Trump di AS, itu saja tidak cukup untuk mengubah apa yang diinginkan oleh pengundi dan bagaimana mereka menilai politik.”

Tambah Weiss, tindak balas kerajaan terhadap krisis Covid-19 juga berkemungkinan akan mempengaruhi tingkah laku pengundi dalam pilihan raya umum akan datang, kerana rakyat mengutamakan dasar jangka panjang berbanding bantuan asas, terutama ketika kadar pengangguran tinggi.

“Ia bukan sekadar isu memilih parti komuniti yang mewakili identiti seseorang, tetapi lebih kepada melihat siapa mempromosikan dasar yang secara harfiahnya dapat menyelamatkan nyawa seseorang dari segi ancaman kesihatan awam dan ekonomi, selain menyedari perlu ada penyelesaian dasar yang lebih baik untuk krisis ini. ”

Sementara itu, Wong Chin Huat dari Jeffrey Sachs Center On Sustainable Development berkata, pandemik berisiko menyebabkan peningkatan politik naungan, kerana ramai yang memerlukan insentif material.

Beliau menekankan perlunya peralihan ke arah “politik profesional” untuk memastikan jumlah keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan “pengundi canggih”, iaitu rakyat yang akan membuat pilihan berdasarkan pengetahuan.

Wong menyeru kepada reformasi institusi, yang melibatkan perancangan semula pekerjaan untuk kelas politik dan mewujudkan pilihan raya tempatan, sebagai insentif kepada ahli politik untuk mendesak dasar yang lebih baik demi kepentingan rakyat.

Beliau turut menyarankan pembangkang membentuk Jemaah Menteri bayangan supaya semua parti dapat menyelaras maklum balas terhadap wabak, daripada hanya tumpu kepada cara untuk kembali menawan Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.