Selangor beri pengecualian penuh duti hiburan bagi bayaran masuk taman tema

Selangor beri pengecualian penuh duti hiburan bagi bayaran masuk taman tema

kerajaan negeri bersetuju mengurangkan kadar duti hiburan ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di Selangor selama lima tahun bermula 1 Jan tahun depan hingga 31 Dis 2026.

Pengecualian penuh duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema di Selangor bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Dis tahun ini.
SHAH ALAM:
Selangor bersetuju memberi pengecualian penuh duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema di negeri itu bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Dis tahun ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Keputusan yang memberi impak kewangan sebanyak RM26.35 juta kepada kerajaan negeri itu dibuat selepas mengambil kira bilangan taman tema di Selangor dan bebanan dihadapi pihak terbabit susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kerajaan negeri juga bersetuju mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25% kepada 5% ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di Selangor selama lima tahun bermula 1 Jan tahun depan hingga 31 Dis 2026.

“Implikasi daripada pengurangan kadar ini, kerajaan negeri dianggarkan akan kehilangan hasil sebanyak RM21.04 juta setahun untuk tempoh lima tahun tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lepas memberi kesan kepada sektor perkhidmatan dan perkilangan selain pengangkutan serta pelancongan terutamanya pendapatan pengusaha taman tema apabila ia terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Pengusaha taman tema juga katanya memerlukan kos pelaburan semula yang tinggi berbanding pengusaha premis hiburan lain bagi menampung kos pengubahsuaian, menambah baik fasiliti, dan juga tarikan baharu untuk memikat pengunjung.

“Pengusaha taman tema adalah antara pemain utama yang merancakkan industri pelancongan. Perkembangan industri itu dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat terutama generasi muda melalui peluang pekerjaan.

“Perkembangan industri pelancongan seperti taman tema akan mempunyai kesan berganda kepada sektor lain seperti agensi pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan sebagainya,” katanya.

Amirudin berkata kelangsungan industri dan perniagaan dilihat akan lebih terjamin selain nasib pekerja terutamanya dalam sektor pelancongan juga terbela menerusi inisiatif kerajaan negeri itu.

Malah katanya, kerajaan negeri juga akan terus mencari penyelesaian terbaik membantu meringankan kesusahan rakyat yang sedang menghadapi saat getir ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.