
Pakar kerajaan tempatan menyambut baik seruan dibuat Pusat Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) yang turut berkata peranan kementerian itu sangat memerlukan penelitian sejak hasil perancangan bandarnya yang teruk itu berada bawah pemantauan bekas menteri Tengku Adnan Mansor.
Penasihat REFSA Wan Hamidi Hamid berkata, kementerian itu tidak bertanggungjawab secara langsung terhadap kebajikan Kuala Lumpur, di mana penduduknya berhak memilih kerajaan yang berkhidmat kepada mereka.
Mengulas cadangan itu, bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Raja Kamarul Bahrin berkata, memilih pegawai adalah satu-satunya cara untuk memastikan masa depan ibu kota itu tidak terjerumus sebagai negeri yang disebut sebagai “bandar rosak”.
“Secara asas dan fizikalnya, Kuala Lumpur nampaknya seperti bandar yang maju, tetapi secara pentadbirannya ia tidak berjalan dengan baik, dan potensinya kurang disedari.
“Melainkan perubahan dibuat, bandar itu akan ‘mereput’, dan kerosakannya tidak boleh dipulihkan,” katanya kepada FMT.
Memetik laporan Bersih 2.0 mengenai pilihan raya tempatan yang menyangkal mitos bahawa orang bukan Melayu akan memonopoli majlis itu sekiranya pilihan raya tempatan diadakan, Raja Kamarul berkata sepatutnya tiada lagi alasan untuk menangguhkan pilihan raya tempatan.
“Pilihan raya sedemikian akan memaksa akauntabiliti dan meminimumkan ‘biawak hidup’ politik.
“Kerajaan tempatan mesti dipilih oleh rakyat. Pelantikan politik hanya akan menyediakan satu agenda politik dan bukan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Katanya, terlalu banyak lantikan politik yang membazirkan sumber sambil menyumbang manfaat yang sedikit kepada warga Kuala Lumpur.
“Pelantikan politik perlu dilakukan secara upacara semata-mata dengan profesional dibenarkan untuk mengurus bandar,” katanya.
Ditanya mengapa pemegang taruh tertentu menentang pilihan raya tempatan, beliau berkata, “orang di Kuala Lumpur sangat mampu membuat keputusan yang baik untuk memilih pemimpin bandar itu sendiri. Mereka mampu memilih dengan bijak, itulah sebabnya mengapa kerajaan takut dengan pilihan raya tempatan.”
Sementara itu, peguam Derek Fernandez menjelaskan kuasa politik dan sokongan adalah alasan mengapa tiada kemahuan politik untuk menggesa pilihan raya kerajaan tempatan.
Sebelum ini, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Fernandez menyifatkan Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai bertindih dan penggunaan dana pembayar cukai yang tidak cekap kerana bertindih dengan peranan dan fungsi pihak berkuasa tempatan.
“Dari perspektif pemerintahan yang baik dan pentadbiran awam, tidak perlu pun ada Kementerian WP,” katanya, sambil menambah struktur pentadbiran masing-masing boleh beroperasi secara bebas.