
Timbalan Menteri Abdul Rahman Mohamad berkata ini kerana dua masalah utama yang dikenal pasti dihadapi pelajar Orang Asli ialah capaian internet yang lemah serta ketiadaan peralatan seperti komputer dan telefon pintar.
“Sekiranya kita (KPLB) diarahkan untuk membantu kedua-dua kementerian, kita akan turun padang membantu pelajar masyarakat Orang Asli supaya mereka tidak ketinggalan dalam sesi PdPR seperti pelajar lain.
“Saya percaya sebarang keputusan atau pengumuman hanya akan dibuat oleh Kementerian Pendidikan dan masalah berkenaan akan menemui jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas Program Memperkasa ‘Community Surveillance’ serta penyerahan 69 unit bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Gepai di Bidor.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyalurkan bantuan bakul makanan kepada 140 ketua isi rumah di Kampung Batu 6 pada 20 Jan lepas, susulan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKDP) yang dilaksanakan sejak 21 Jan.
Jakoa juga bersiap sedia dengan bantuan tambahan sekiranya tempoh PKPD dilanjutkan bagi memastikan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
Pada 20 Jan, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang diletakkan bawah PKPD sehingga 3 Feb selepas pihak berkuasa mengesan 12 kes positif Covid-19 di kampung berkenaan.