
Komander PPM Wilayah Tiga Norzaid Muhammad Said berkata rampasan itu dilakukan menerusi Op Benteng dalam serbuan di kawasan Jalan Parit Tali Air dari Kampung Cempaka menghala ke Kampung Cherang di Kota Bharu, kira-kira 6.30 pagi tadi.
“Sepasukan pegawai dan anggota menjalankan risikan dan intipan terhadap penyeludupan rokok putih dan mengesan sebuah lori yang disasarkan memasuki lorong di laluan berkenaan.
“Kenderaan itu diberhentikan dengan menutup kedua-dua arah lorong tersebut menggunakan sebuah kenderaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga kenderaan samaran,” katanya ketika ditemui pemberita di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.
Norzaid berkata bagaimanapun, dua lelaki dipercayai warga tempatan yang merupakan pemandu lori dan kelindan, berjaya melarikan diri kerana menyedari laluan lorong berkenaan dihalang sepasukan polis.
“Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan gagal dikesan. Susulan itu, hasil pemeriksaan ke atas lori itu mendapati telah membawa 200 kotak yang mengandungi 10,000 karton rokok putih berkenaan,” jelasnya.
Katanya, keseluruhan barangan rampasan termasuk lori seberat tiga tan yang bernilai RM1.58 juta dihantar ke balai polis berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.