
Langkah itu katanya, akan membolehkan proses ujian, pengesanan kontak rapat, pengasingan, kuarantin, rawatan serta pemantauan disegerakan.
“Selangor, sebagai negeri yang paling pesat dengan kepadatan penduduk serta kegiatan industri, perniagaan dan tapak pembinaannya, pasti akan menanggung padah paling teruk.
“Seandainya semua proses ini lambat serta tergendala, maka kita hanya mampu memainkan peranan ‘catchup’ atau ‘mengekori saja virus ini, maka kadar transmisi virus ini akan terus melambung tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 5,725 kes baru Covid-19 dengan 16 kematian dalam tempoh 24 jam, di mana Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 3,126 kes, diikuti Kuala Lumpur (687), Johor (684) dan negeri lain.
Dzulkefly berkata, antara faktor menyebabkan Selangor merekodkan kenaikan kes mendadak ialah keputusan kes tertangguh di penjara, klinik dan hospital swasta sejak 10 hari lalu.
“Kolaboratif antara semua pihak perlu diperkukuhkan lagi dengan mengambil pendekatan lebih tepat bagi mengekang penularan virus ini.”
Beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan program “Preventing Outbreak at Ignition Site” (POIS), iaitu kerjasama pintar tiga penjuru secara sukarela antara kerajaan negeri, majikan dan NGO, dengan tumpuan ujian saringan berkala di kawasan kilang serta tempat kerja.
Katanya, POIS akan jalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua pihak berkuasa tempatan dan Persekutuan Pekilang Malaysia.