Pengusaha lori mengeluh, tunggu 10 jam sebelum masuk Singapura

Pengusaha lori mengeluh, tunggu 10 jam sebelum masuk Singapura

Keadaan itu menimbulkan masalah kepada pemandu yang tidak mempunyai akses kepada makanan, minuman dan tandas awam.

Persatuan Pengusaha Lori Johor menggesa pihak berkuasa menyelesaian masalah kesesakan di pintu sempadan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Persatuan Pengusaha Lori Johor berharap pihak berkuasa dapat tampil dengan penyelesaian segera berhubung masalah kesesakan yang dialami pemandu lori di pintu sempadan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Pengerusinya Novan Hing berkata pada ketika ini, pemandu lori dari Malaysia yang membawa muatan keperluan asas ke Singapura berdepan kesesakan melampau di sempadan sehingga ada masanya mencecah 10 jam.

Keadaan itu katanya menimbulkan masalah kepada pemandu yang tidak mempunyai akses kepada makanan, minuman dan tandas awam, selain terpaksa menunggu lama untuk proses pelepasan.

“Masalah ini turut mengakibatkan kerosakan terhadap kargo yang dibawa khususnya produk mentah sayur-sayuran dan ayam,” katanya pada sidang akhbar secara maya, di sini hari ini.

Katanya beliau khuatir jika masalah itu tidak diselesaikan segera, keadaan akan menjadi bertambah buruk menjelang perayaan Tahun Baharu Cina kira-kira dua minggu lagi.

Menurut Hing, kesesakan teruk itu dipercayai berpunca daripada pemeriksaan ketat oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang dilaksanakan susulan tindakan segelintir pihak.

“Mereka (MAQIS) bertindak begini kerana terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan aktiviti haram tetapi apabila prosedur pemeriksaan diketatkan, ini menimbulkan pula masalah kepada pengusaha lori,” katanya.

Hing berkata kesesakan juga disebabkan Singapura melaksanakan Ujian Rapid Antigen (ART) terhadap semua pemandu lori dan kelindan yang memasuki republik itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagi mengurangkan masalah itu, persatuan tersebut mencadangkan agar Jabatan Kastam membuka kaunter operasi di kedua-dua laluan tersebut selama 24 jam berbanding hanya 12 jam ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.