
Manakala, jumlah dagangan pada 2020 mencecah RM1.8 trilion, susut 3.6% tahun ke tahun, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, seiring dengan kelemahan permintaan global dan keadaan ekonomi luaran yang tidak memberansangkan akibat Covid-19, jumlah eksport negara pada 2020 susut 1.4% kepada RM981.0 bilion berbanding tahun sebelumnya dan import berkurangan 6.3% atau RM53.2 bilion kepada RM796.2 bilion.
Menurutnya, Dis 2020 mencatat nilai eksport bulanan tertinggi sebanyak RM95.7 bilion, iaitu peningkatan 10.8% berbanding bulan sama pada 2019 yang melebihi pertumbuhan import bagi tempoh lapan bulan berturut-turut.
“Setelah penurunan selama sembilan bulan berturut-turut, import kembali meningkat dengan mencatat pertumbuhan 1.6% kepada RM75.0 bilion.
Eksport Malaysia meneruskan momentum positif pada Dis 2020 dan peningkatan eksport disokong oleh eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula misalnya berjumlah RM17.6 bilion, iaitu menyumbang sebanyak 18.4% kepada jumlah eksport yang merupakan peningkatan sebanyak 22.9%.
“Manakala itu eksport domestik bernilai RM78.1 bilion, iaitu meningkat 8.3% tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan media Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negara bagi Dis 2020, hari ini.
Menurut Mohd Uzir, lebihan dagangan meningkat sebanyak 64.9% kepada RM20.7 bilion tahun ke tahun.
Beliau berkata, peningkatan eksport didorong oleh pertambahan eksport ke Singapura (+RM2.2 bilion), China (+RM1.9 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.7 bilion), India (+RM1.62 bilion), Hong Kong (+RM1.60 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM988.1 juta).
Selain itu, kenaikan import pula, terutamanya dari China (+RM2.1 bilion), India (+RM772.9 juta), Hong Kong (+RM518.7 juta) dan Taiwan (+RM466.0 juta).
Menurutnya, produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM5.6 bilion); keluaran getah (+RM3.0 bilion) dan minyak kelapa sawit serta keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM2.6 bilion).
“Peningkatan import pula bagi produk elektrik dan elektronik (+RM2.7 bilion) serta kimia dan bahan kimia (+RM734.7 juta),” katanya.