Hospital swasta patut dilibatkan dari awal, kata bekas KP Kesihatan

Hospital swasta patut dilibatkan dari awal, kata bekas KP Kesihatan

Dr Ismail Merican berkata, kehadiran pakar kesihatan awam yang boleh menangani krisis di universiti dan sektor swasta diabaikan pada peringkat awal.

Bekas ketua pengarah kesihatan Dr Ismail Merican berkata, ramai doktor dalam sektor swasta mahu membantu usaha memerangi wabak Covid-19.
PETALING JAYA:
Bekas ketua pengarah kesihatan Dr Ismail Merican tidak bersetuju dengan apa yang disifatkannya sebagai “keputusan saat akhir” meminta hospital swasta membantu meredakan situasi Covid-19 yang semakin buruk, dengan berkata, kerajaan seharusnya terbuka kepada kerjasama dengan mereka sejak awal.

Ismail, yang memegang jawatan itu dari 2005 hingga 2011 berkata, kerajaan seharusnya mengintegrasikan seluruh sektor kesihatan – kedua-dua awam dan swasta, termasuk pemegang taruh – dalam pengurusan wabak tersebut.

“Kita lihat adalah, pada awalnya, pendekatan lebih berpusat kepada Kementerian Kesihatan untuk menangani pandemik, dan mengabaikan kewujudan pakar kesihatan awam yang boleh menangani krisis seperti ini di universiti dan sektor swasta,” katanya kepada FMT.

“Saya mungkin lakukan langkah berbeza dengan melibatkan sektor swasta sejak awal, bukan sekarang ketika anda terdesak, dan pada dasarnya, anda memaksa mereka.

“Hospital swasta dipandang rendah oleh banyak pihak sebagai institusi yang hanya melihat keuntungan, tak lebih daripada itu.

“Walaupun itu benar, terdapat ramai doktor di sektor swasta yang mahu membantu, tetapi terhalang,” kata Ismail.

Ismail, yang merupakan antara individu yang menangani wabak SARS pertama di negara ini pada 2002, bagaimanapun mengakui walaupun sektor swasta bersedia untuk membantu, kemampuan mereka terhad dalam mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Akhirnya, hospital swasta hanya dapat melakukan apa yang mereka mampu,” katanya, selain menambah bahawa akan wujud tekanan ke atas sumber mereka, termasuk modal insan, yang diperlukan untuk mengurus pesakit,” katanya.

Dengan fasiliti kerajaan makin tertekan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta sektor swasta menyediakan 1,000 katil hospital, termasuk 70 katil kritikal di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19.

Beliau juga berkata, 97 hospital swasta dikenal pasti untuk menerima pesakit Kategori 3, 4 dan 5

Ismail, yang kini merupakan doktor pakar di Prince Court berkata, katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di sektor swasta terhad.

“Kita harus ingat yang katil ICU tidak cukup di seluruh negara. Sepatutnya, jumlah katil ICU dan Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) adalah sebanyak 10% daripada jumlah katil hospital, bergantung kepada lokasi. Kini, kita mempunyai kurang daripada 1%.

“Sekiranya hospital swasta ingin menambah katil ICU untuk kes Covid-19, mereka mungkin perlu mengorbankan wad tertentu, termasuk mengubah suai beberapa bahagian hospital,” katanya.

Namun begitu hospital perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) di Kementerian Kesihatan, katanya, dan kelewatan itu boleh menjadi cabaran buat hospital dan pesakit.

Ismail berkata, peluasan wad ICU juga bermaksud pengambilan lebih ramai jururawat terlatih dan pembelian peralatan mahal.

“Siapa yang menanggung kosnya? Pesakit? Hospital? Adakah kerajaan bersedia membantu dari segi kewangan?”

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM100 juta kepada sektor swasta untuk membantu menangani wabak tersebut, tetapi, kata Ismail, hingga kini, belum ada garis panduan atau perincian jelas bagaimana sokongan kewangan itu akan disalurkan kepada sektor swasta.

Akibatnya katanya, sektor penjagaan kesihatan swasta mungkin perlu berkompromi berhubung standard mereka dalam usaha mematuhi arahan kerajaan.

Berkenaan isu modal insan, Ismail menekankan bahawa pakar di hospital swasta adalah “pengendali tunggal”, tidak seperti di hospital awam, yang mempunyai hierarki pakar, pegawai perubatan dan “houseman”, jururawat kanan dan jururawat pelajar.

“Sekiranya anda seorang pesakit Covid-19, anda mesti dilawati (oleh doktor) tiga hingga empat kali sehari. Bolehkah ia dilakukan di sektor swasta, dengan orang yang sama menemui pesakit tiga hingga empat kali sehari?”

Beliau juga berkata, wujud risiko pesakit lain terdedah kepada virus kerana bilangan doktor yang terhad bermakna mereka juga perlu merawat pesakit bukan Covid-19.

“Sektor swasta dapat membantu menguruskan pesakit Covid-19 jika kerajaan bersedia berbincang dengan mereka mengenai cabaran yang akan mereka hadapi dan membantu mengatasi cabaran tersebut.

“Kerajaan juga harus berbincang dengan syarikat insurans supaya mereka lebih bertolak ansur dalam membantu sektor swasta mengurus pesakit yang sepatutnya diurus di hospital awam” katanya.

Meringankan beban wad Covid-19 hospital awam

Ismail mengesyorkan agar kerajaan hanya membenarkan kes teruk (Kategori 3, 4 dan 5) dirawat di hospital, manakala pesakit Kategori 1 dan 2 dibenarkan keluar bagi meringankan beban hospital awam.

Ini akan mengosongkan sehingga 80% katil, memberi ruang yang cukup untuk pesakit Covid dan bukan Covid yang memerlukan rawatan kritikal.

Namun katanya, pesakit tidak bergelaja dan bergejala ringan perlu diberi nasihat oleh pasukan teknikal agar mereka terus mengasingkan diri daripada ahli keluarga lain selama 10 hingga 14 hari, mengawasi gejala yang semakin teruk, dan segera memberitahu pasukan teknikal sekiranya mereka mengalami gejala tersebut.

“Masyarakat harus bertanggungjawab dan berdisiplin untuk memastikan (strategi) ini berkesan. Terdapat laporan yang mereka yang menjalani kuarantin di rumah menjadi terlalu selesa dan leka – ini tidak boleh berlaku sama sekali,” kata Ismail.

Beliau berkata, sektor swasta juga dapat dilibatkan dalam pengurusan pesakit bukan Covid dengan kos bersubsidi untuk pesakit.

Lima langkah untuk kalahkan ancaman Covid-19

Ismail mengesyorkan lima langkah untuk “mengubah arus” dalam memerangi wabak itu:

• Kepemimpinan yang kuat, stabil dan berwibawa dengan tadbir urus yang baik dan penghargaan yang tulen terhadap masalah yang dihadapi rakyat, terutamanya akibat ekonomi dan psikologi daripada perintah sekatan, yang seharusnya bukan satu-satunya strategi yang digunakan.

Katanya, KKM – dari menteri hingga ketua pengarah dan pasukan teknikalnya – harus diberi kuasa untuk menyampaikan “hard facts” dan memberi nasihat tentang langkah yang perlu diambil.

• Sistem perubatan dan kesihatan awam yang “sihat” dan cukup sumber dengan input dan nasihat daripada pakar terbaik.

• Kerajaan harus memperkasakan, mendidik dan melibatkan masyarakat supaya mereka komited, bertanggungjawab dan berpengetahuan, dan tidak terbawa-bawa menyebarkan maklumat yang salah, terutama mengenai vaksin.

• Perolehan vaksin mesti dipertanggungjawabkan dan telus, diketuai oleh KKM, bukannya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

• Satu sumber kerajaan yang “dipercayai” untuk berkomunikasi secara tepat dan konsisten dalam usaha menanam keyakinan dan kepatuhan dalam masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.