‘Assassins’ singkap kisah 2 wanita dituduh bunuh Kim Jong Nam

‘Assassins’ singkap kisah 2 wanita dituduh bunuh Kim Jong Nam

Tumpuan dokumentari itu adalah dua wanita – Siti Aisyah dari Indonesia bersama Doan Thi Huong dari Vietnam – yang dituduh meracun Kim dengan menyapu 'senjata' kimia terlarang.

Kim Jong Nam dibunuh di klia2 pada Februari 2017, dalam kejadian yang dituduh sebagai konspirasi ejen Korea Utara.

Hampir empat tahun selepas pembunuhan Kim Jong Nam, adik tiri pemimpin Korea Utara, sebuah dokumentari baharu cuba menyingkap kisah di sebalik kejadian itu serta penglibatan dua wanita muda yang dituduh melakukannya.

Pembunuhan Kim di klia2 pada Februari 2017 dirakamkan dalam video CCTV yang kabur disiarkan di seluruh dunia, namun sehingga kini, banyak perincian kekal misteri.

Pengarah Amerika Syarikat Ryan White meluangkan masa dua tahun setengah mendalami kes itu untuk “Assassins”, yang akan ditayangkan di pawagam dan secara digital atas permintaan hari ini.

Tumpuan dokumentari itu adalah dua wanita – Siti Aisyah dari Indonesia bersama Doan Thi Huong dari Vietnam – yang dituduh meracun Kim dengan menyapu “senjata” kimia terlarang dan dijatuhi hukuman mati di Malaysia, sebelum dibebaskan lebih setahun lalu.

Peguambela mempertahankan bahawa wanita terbabit menjadi “alat” dalam pembunuhan yang diatur oleh ejen Korea Utara. Wanita terbabit beranggapan yang mereka adalah sebahagian daripada sebuah rancangan gurauan realiti dan tidak tahu yang mereka meracuni Kim.

Pegawai rasmi Korea Selatan dan AS berkata, rejim Korea Utara mengarahkan pembunuhan Kim yang mengkritik pemerintahan dinasti keluarganya. Pyongyang menolak tuduhan itu.

Untuk “Assassins”, White menyisir rakaman CCTV berpiksel dan memeriksa bukti yang dikemukakan di dalam dan di luar mahkamah. Dia menghadiri perbicaraan mahkamah, menemu ramah peguam bela dan ahli keluarga, pergi ke Vietnam dan Indonesia dan membuat penggambaran di daerah Hanoi tengah dan Kuala Lumpur untuk menceritakan latar belakang Doan dan Aisyah.

Tetapi, dia menganggap mendengar sendiri penjelasan daripada wanita tersebut adalah elemen paling penting untuk mendapat pencerahan mengenai kes tersebut.

“Mereka sangat berwaspada dengan kami kerana hidup mereka hampir sahaja berakhir akibat percaya dengan helah kru filem yang menjanjikan mereka populariti. Apabila saya pula memberitahu mereka benda yang sama hingga suatu tahap, mereka memerlukan masa untuk percaya,” kata White.

Katanya, dia terkejut dengan apa yang dilihat pada kedua-dua wanita itu – Doan, yang sentiasa mencari peluang untuk menjadi terkenal sejak lebih sedekad lalu, ternyata seorang yang pemalu dan suka berselindung, teragak-agak untuk terlibat dalam dokumentari itu, sementara Aisyah penuh bersemangat.

“Saya rasa inilah pengajaran terbesar, apabila anda melihat tajuk utama, anda mungkin membuat sesuatu kesimpulan, tetapi apabila anda menyingkap di sebaliknya, kisah sebenarnya lain pula,” katanya.

Doan dan Aisyah telah ditunjukkan dokumentari itu awal minggu ini dan mereka merestuinya, kata White.

“Syukur mereka selamat daripada pengalaman ini, tapi sayangnya, saya rasa kehidupan mereka tidak akan sama lagi selepas ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.