
Dalam catatan di Facebooknya, Azizan mengesahkan beliau sekeluarga terdedah kepada individu yang positif Covid-19 pada 7 Jan lalu.
“Covid-19 hampir meragut nyawa saya! (Pada jam) 1.44 petang, Jumaat 15 Januari, saya dah hampir maut.
“Nafas saya sesak. Doktor kata peluang saya amat tipis. Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.
“Saya dan keluarga diuji dengan virus Covid-19. (Seramai) 31 ahli keluarga saya dijangkiti Covid-19 dan ibu mentua saya telah kembali ke rahmatullah,” katanya.
Azizan begitu sukar meluahkan isi hati dalam melalui pengalaman yang begitu pahit dan kehilangan ibu mentuanya.
“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu. Tetapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang mentor, saya nak anda tahu proses ini,” katanya.
Pemilik syarikat RichWorks International itu memerlukan bantuan alat pernafasan sebelum beransur sembuh.
“Masa itulah saat penentu untuk pergi atau kekal…you tak boleh bernafas, you tak boleh tarik, you tak boleh hembus hanya gunakan mesin untuk terus bertahan dan melawan dengan otak, emosi dan diri.
“Kamu mahu hidup? Kamu mahu lawan? Itu la saatnya, dan Insya-Allah, ini masanya untuk saya betulkan segalanya,” katanya.
Azizan berkata, pengalaman yang ditempuh itu memperkuatkan tekadnya untuk terus membantu masyarakat.
“Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, dan menjadi mentor yang lebih baik.
“Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya,” katanya.