Moody’s sahkan penarafan Malaysia pada A3, kekalkan unjuran stabil

Moody’s sahkan penarafan Malaysia pada A3, kekalkan unjuran stabil

Moody’s menjelaskan pengesahan penarafan itu disokong jangkaannya bahawa prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia akan terus kukuh.

Moody’s menjangkakan pandemik Covid-19 tidak akan memberi kesan negatif berterusan terhadap model ekonomi Malaysia. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan penerbit jangka panjang mata wang asing dan tempatan serta hutang tidak bercagar senior mata wang tempatan Malaysia pada A3, dengan unjuran yang stabil.

Moody’s dalam kenyataan menjelaskan pengesahan penarafan itu disokong jangkaannya bahawa prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia akan terus kukuh, dan institusi pembuatan dasar makroekonomi negara akan terus dipercayai serta efektif, sekali gus menyediakan daya tahan profil kredit negara.

“Kekuatan ini, berlandaskan andaian asas Moody’s, seimbang dengan beban hutang kerajaan yang agak tinggi dan meningkat, yang menjadikan kerajaan berada pada kekuatan fiskal rendah untuk beberapa waktu selepas berlakunya kejutan pandemik ke atas kewangan awam.”

Agensi penarafan itu menjelaskan, sementara pihaknya menjangkakan kerajaan kekal komited terhadap pengukuhan fiskal secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, namun peningkatan beban hutang dijangka tidak berkurangan dengan cepat.

“Unjuran stabil pula mencerminkan pandangan Moody’s bahawa risiko terhadap profil kredit kekal konsisten dengan tahap penarafan A3 berlandaskan andaian semasa.”

Ia turut menjangkakan pandemik Covid-19 tidak akan memberi kesan negatif berterusan terhadap model ekonomi Malaysia.

“Oleh itu, gelombang jangkitan semasa dan seterusnya akan menunda, namun secara material tidak menghalang kembalinya ekonomi kepada kadar pertumbuhan tinggi.”

Moody’s juga menjelaskan rekod prestasi dasar makroekonomi berkesan pihak berkuasa, termasuk dasar fiskal berhemat adalah berterusan, walaupun wujud gangguan berlanjutan dalam landskap politik.

Agensi itu pada masa sama mengesahkan penarafan mata wang asing bagi hutang tidak bercagar senior disokong yang diterbitkan syarikat tujuan khas kerajaan, Malaysia Sovereign Sukuk Bhd, Malaysia Sukuk Global Bhd dan Wakala Global Sukuk Bhd pada A3.

“Obligasi pembayaran berkaitan adalah, menurut pandangan Moody’s, obligasi langsung kerajaan.”

Moody’s juga mengesahkan penarafan mata wang tempatan bagi hutang tidak bercagar senior disokong yang diterbitkan Khazanah Nasional Bhd, yang meraih manfaat daripada jaminan yang jelas daripada kerajaan.

Menurutnya, siling negara mata wang tempatan dan asing Malaysia masing-masing tidak berubah pada Aa1 dan Aa2.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.