Wanita rugi lebih RM80,000 diperdaya ‘inspektor’ polis

Wanita rugi lebih RM80,000 diperdaya ‘inspektor’ polis

Mangsa wanita berusia 35 tahun berkongsi maklumat empat akaun simpanannya termasuk di Tabung Haji kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang jika enggan bekerjasama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa membuat pemeriksaan di bank dan mendapati terdapat banyak transaksi pengeluaran dibuat tanpa pengetahuannya. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Seorang pembantu guru mengalami kerugian RM81,133 selepas wang simpanannya lesap akibat diperdaya seorang anggota polis untuk memuat turun aplikasi telefon bimbit bagi membantu siasatan pengubahan wang haram, minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa wanita berusia 35 tahun dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Ahad lepas memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai selama lebih setahun.

Mangsa kemudian diarahkan berurusan dengan pegawai LHDN di Cyberjaya sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat inspektor dari ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pahang.

Katanya, “inspektor” itu memaklumkan kad pengenalan mangsa digunakan untuk membuka akaun bank yang disyaki terlibat dengan pengubahan wang haram dan mendakwa boleh membantu mangsa membuat laporan polis jika berkongsi maklumat peribadi.

“Suspek telah memberikan satu pautan (link) yang perlu dimuat turun bagi tujuan siasatan, selain mangsa perlu membuat rayuan kepada pegawai atasan JSJK supaya kes itu diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita.

Mohd Wazir berkata, mangsa telah berkongsi maklumat empat akaun simpanannya termasuk di Tabung Haji kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang jika enggan bekerjasama.

Menurut Mohd Wazir, mangsa mulai curiga apabila mendapati nombor telefon “inspektor” itu disenaraikan sebagai “scammer” selepas memeriksa nombor berkenaan di aplikasi “Whoscall” dan cubaan untuk mengakses bank secara dalam talian gagal.

“Mangsa membuat pemeriksaan di bank dan mendapati terdapat banyak transaksi pengeluaran dibuat tanpa pengetahuannya,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata mangsa membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Lipis, 225km dari sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Justeru, Mohd Wazir menasihatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada mana-mana individu termasuk yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis menerusi panggilan telefon, sebaliknya mendapatkan pengesahan dan nasihat di balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.