
Panel tiga hakim merangkumi Mary Lim Thiam Suan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), Has Zanah Mehat dan S Nantha Balan, mencapai keputusan sebulat suara itu selepas membenarkan rayuan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Dalam penghakiman yang disampaikan Lim, mahkamah memutuskan penduduk mempunyai kedudukan perundangan (locus standi) untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan DBKL.
Oleh itu, katanya, perintah pembangunan bertarikh 1 Julai 2017 diketepikan.
Beliau berkata, terdapat kekhilafan boleh dirayu dalam kes itu yang mewajarkan campur tangan mahkamah.
Mahkamah Rayuan juga memerintahkan DBKL membayar RM60,000 sebagai kos, manakala Yayasan Wilayah Persekutan dan Memang Perkasa Sdn Bhd masing-masing sebanyak RM40,000.
Bagaimanapun, Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara tidak diperintahkan membayar sebarang kos.
Lim berkata, persatuan penduduk mempunyai locus standi untuk memfailkan semakan kehakiman kerana mereka terjejas dengan cadangan pembangunan itu.
“Kami tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa semua perayu di hadapan kami mempunyai kepentingan yang nyata dan tulen berhubung perkara dinyatakan dalam semakan kehakiman.
“Pada pandangan kami, perayu telah membuktikan dengan jelas mereka amat terjejas dengan keputusan itu kerana mereka adalah penduduk, pemilik dan penghuni hartanah di kawasan berhampiran pembangunan yang dicadangkan.”
Beliau berkata, terdapat kesalahan prosedur dalam keputusan yang dicapai menyebabkan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL dibatalkan kerana sesetengah penduduk tidak dimaklumkan.
Lim berkata, datuk bandar, seperti responden lain, menggunakan alasan penempatan semula atau kediaman rumah panjang Bukit Kiara untuk mengeluarkan perintah pembangunan itu kerana kononnya demi kepentingan dan kesejahteraan mereka.
“Kami tidak dapat melihat bagaimana masalah rumah panjang Bukit Kiara menjadi satu isu perancangan. Ia adalah isu legasi atau politik yang tidak harus diberi pertimbangan oleh datuk bandar dalam menjalankan kuasa budi bicaranya mengikut Seksyen 22 Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.”
Beliau berkata, cadangan pembangunan itu sebenarnya satu usaha sama perniagaan serta komersial antara Yayasan Wilayah serta Memang Perkasa.
Sehubungan itu, panel Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Nov 2018 yang menolak semakan kehakiman oleh penduduk bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.
Penduduk memfailkan semakan kehakiman itu pada 11 Ogos 2017 melalui badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouse, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium, selain Persatuan Penduduk TTDI serta empat penduduk dan pemilik rumah di TTDI.
Mereka menamakan DBKL, Yayasan Wilayah, Memang Perkasa dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.
Penduduk memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan DBKL berhubung cadangan pembangunan bercampur, termasuk sebuah pangsapuri 29 tingkat yang terdiri daripada 350 unit mampu milik dan lapan blok pangsapuri perkhidmatan dengan lapan tingkat ruang parkir.
Mereka mendakwa tanah seluas 10.08 hektar di Taman Rimba Kiara merupakan taman awam antara TTDI dan Bukit Kiara serta kawasan hijau bagi Kuala Lumpur.
Penduduk diwakili peguam Gurdial Singh Nijar, manakala peguam B Thangaraj mewakili DBKL.
Cecil Abraham mewakili Yayasan Wilayah dan Memang Perkasa, manakala Harpal Singh Grewal mewakili Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.