Walau terlantar, bapa tekad kembang perniagaan kacang putih demi sara anak

Walau terlantar, bapa tekad kembang perniagaan kacang putih demi sara anak

Mangsa langgar lari, Mohd Shakier Ismail berharap dapat mengusahakan gerai kacang putih dan berdikari.

Mohd Shakier Ismail, bekas pemandu teksi, berharap dapat membuka sebuah gerai kacang putih.
PETALING JAYA:
Insiden langgar lari menimpanya lima tahun lalu ternyata mengubah hidup seorang pemandu teksi, Mohd Shakier Ismail selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan kecederaan di bahagian belakang dan kesukaran berjalan.

Sejak itu, lelaki berusia 50 tahun itu terpaksa menghabiskan masanya terlantar di atas katil dan tidak dapat mencari rezeki untuk dua anak perempuannya, berusia 15 dan 19 tahun.

Beliau menyewa bilik dengan harga RM300 di Kepong, Kuala Lumpur, yang diberi subsidi oleh Baitulmal. “Itu satu-satunya bantuan yang saya dapat dari kerajaan,” katanya kepada FMT.

Bagi mencukupkan keperluan, beliau bergantung pada sokongan jiran dan rakan untuk membeli kacang tanah atau kacang putih yang dibungkus dan dijualnya untuk membeli makanan buat anak-anak.

Mohd Shakier Ismail, 50 berharap mendapat dana untuk mengembangkan perniagaan kacang putih itu.

Namun, kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatannya yang cuma sebanyak RM20 sehari, menyebabkannya kini tidak lagi mampu memberi makan kepada anak-anak dan dirinya sendiri.

“Kalau berseorangan, saya tak kisah berlapar. Tetapi saya sangat sedih tengok anak-anak kelaparan,” katanya. “Saya tak nak bergantung pada pemberian tetapi apa yang saya mahukan hanyalah bantuan untuk mengembangkan perniagaan kacang putih saya dan menambah barang-barang lain yang boleh saya jual,” katanya kepada FMT.

Beliau mengharapkan sumbangan orang ramai untuk membantunya mendirikan sebuah gerai kecil menjual kacang putih dan makanan ringan lain.

“Kalau saya boleh dapat dana untuk beli meja, payung parasol dan sejumlah wang tambahan untuk beli bahan-bahan kacang putih dan makanan ringan lain, kami cukup bersyukur. Ini akan membantu kami untuk berdikari dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak saya,” tambahnya.

Harapannya tahun ini menjadi tahun yang lebih baik bagi anak-anak agar mereka dapat menumpukan perhatian pada pelajaran mereka.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu Shakier, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline 0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.