Tindakan tegas menanti pengingkar SOP perarakan pedati Thaipusam

Tindakan tegas menanti pengingkar SOP perarakan pedati Thaipusam

Polis berkata, pedati tidak boleh berhenti di mana-mana lokasi sepanjang perjalanan dan tiada peralatan gendang serta tiupan alat muzik dibenarkan.

Petang tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai tidak berarak bersama pedati atau menjadi penonton di pinggir jalan.
KUALA LUMPUR:
Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar SOP ketika perarakan pedati sempena sambutan Thaipusam esok.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan memantau perjalanan pergi balik pedati berkenaan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H S Lee ke Kuil Sri Subramaniaswamy di Batu Caves.

“Syarat ketat pertama perlu dipatuhi mereka adalah hanya 10 petugas dibenarkan mengiringi pergerakan pedati, iaitu lima ahli jawatankuasa kuil dan lima petugas, serta pedati tidak boleh berhenti di mana-mana lokasi sepanjang perjalanan.

“Syarat kedua adalah tiada sebarang peralatan gendang dan tiupan alat muzik dibenarkan. Ketiga, tiada sebarang perniagaan sepanjang jalan antara Kuil Sri Maha Mariamman ke kuil Sri Subramaniaswamy dibenarkan, kecuali yang telah mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“Pedati hanya akan dibenarkan bergerak mulai 3 pagi hingga 6 pagi pada 27 Jan ini dan kembali ke kuil dari Batu Caves pada Jumaat 29 Jan nanti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan tindakan undang-undang.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai tidak berarak bersama pedati mahupun menjadi penonton di pinggir jalan susulan perintah kawalan pergerakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.