Peniaga rugi lebih RM84,000 diperdaya sindiket pinjaman tak wujud

Peniaga rugi lebih RM84,000 diperdaya sindiket pinjaman tak wujud

Mangsa yang berusia 32 tahun terdesak mahu mendapatkan pinjaman wang bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000 dan suspek menjanjikan kelulusan segera bagi pinjaman tersebut.

Mangsa dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp oleh supek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Bryan Leong’ kononnya ejen daripada syarikat pemberi pinjaman wang, awal bulan ini.
ALOR SETAR:
Seorang wanita yang menjalankan perniagaan dalam talian kerugian lebih RM84,000 selepas diperdaya seorang individu disyaki ahli sindiket pinjaman wang tidak wujud, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Elias Omar berkata, mangsa berasal dari Kulim dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp oleh supek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Bryan Leong’ kononnya ejen daripada syarikat pemberi pinjaman wang, awal bulan ini.

“Mangsa yang berusia 32 tahun terdesak mahu mendapatkan pinjaman wang telah bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000 dan suspek menjanjikan kelulusan segera bagi pinjaman tersebut.

“Selepas berjaya mendapatkan kepercayaan mangsa, suspek meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran seperti bayaran insurans, membuka fail, bayaran percubaan pinjaman dan bayaran sistem pinjaman,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, atas dasar percaya, mangsa telah membuat pemindahan wang melalui 38 transaksi melibatkan 11 akaun bank yang diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM84,290.

Menurut Elias, mangsa juga telah membuat pinjaman wang daripada ahli keluarganya untuk pembayaran kepada suspek.

“Penipuan mula disedari mangsa apabila suspek meminta mangsa membuat lagi beberapa bayaran dan menyatakan jika mangsa mahu membatalkan pinjaman, mangsa perlu membayar sejumlah wang lagi. Mangsa berasa curiga dan syak telah ditipu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Lunas, Kulim, semalam dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Elias menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud dan tidak menyerahkan maklumat peribadi secara dalam talian.

“Pastikan sentiasa membuat semakan dengan pihak polis atau pihak berkaitan bagi pengesahan dan berbincang atau bertanya dengan keluarga atau rakan serta elak mengambil tindakan bersendirian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.