
PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan suami isteri yang tinggal berjauhan kerana bekerja dibenarkan merentas negeri mulai esok, tetapi mereka perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis terlebih dahulu.
Bagaimanapun, katanya, pasangan yang mempunyai gejala Covid-19 dinasihatkan menjalani ujian saringan sebelum merentas negeri.
“Kita tidak mahu akhirnya akan membahayakan keluarga masing-masing, adalah baik jika mereka tidak bergerak dahulu sehingga gejala telah sembuh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan dan selepas mengambil kira keluhan pasangan suami isteri yang terpisah susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara, kecuali Sarawak.