DBKL tutup premis proses ikan kotor, berdaki

DBKL tutup premis proses ikan kotor, berdaki

DBKL berkata, kerja menyiang dan memotong ikan dilakukan atas lantai tanpa menggunakan alas pelapik.

Keadaan di dalam premis memproses ikan dan makanan eksotik yang kotor serta tidak mematuhi piawaian kesihatan.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sebuah premis memproses ikan dan makanan eksotik yang kotor dan berdaki ditutup serta-merta.

Hasil pemeriksaan Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mendapati premis di Jalan 4/33B MWE, Kepong Commercial Park itu gagal mematuhi piawaian kesihatan ditetapkan.

“Keadaan kotor, lantai dan dinding keseluruhan kawasan penyediaan makanan berdaki hitam dengan sisa darah pekat yang kering. Lantai dan dinding diperbuat daripada simen konkrit sahaja dan tidak dilapisi jubin serta dipenuhi lumut hijau.

“Semua aktiviti menyedia, menyiang, memotong ikan dijalankan di atas lantai tanpa menyediakan alas pelapik.

“Perkakas, peralatan dan mesin yang digunakan dalam penyediaan makanan tidak dijaga bersih, tidak diselenggara dengan baik serta dalam keadaan kotor berdaki,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, DBKL mengarahkan premis itu ditutup mulai esok mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.