Wanita juga boleh jadi PM suatu hari nanti, kata Dr M

Wanita juga boleh jadi PM suatu hari nanti, kata Dr M

Tetapi, bekas perdana menteri itu berkata, ia adalah proses panjang dan mengambil masa sebelum wanita dapat memainkan peranan lebih penting dalam pentadbiran negara.

Dr Mahathir Mohamad berkata, wanita hari ini juga mempunyai pengalaman mendalam dan pengetahuan luas, sekali gus mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.
KUALA LUMPUR:
Wanita juga mampu menjadi perdana menteri di negara ini suatu hari nanti, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata, ia adalah proses panjang dan mengambil masa sebelum golongan itu dapat memainkan peranan lebih penting dalam pentadbiran negara.

“Kita lihat perkara ini (perdana menteri wanita) berlaku di negara-negara maju dan kita juga lebih awal dalam memberi peranan kepada wanita sebagai pemimpin.

“Mungkin (pada masa ini) tak sampai jadi perdana menteri, tetapi sudah ada (wanita) yang dapat jawatan dengan tanggungjawab tinggi, malah mereka juga menjalankan tugas dengan baik,” katanya dalam program bual bicara “Tick Talk 60 Minute: Wanita-wanita Bersama Tun M” yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Mahathir berkata, wanita hari ini juga mempunyai pengalaman mendalam dan pengetahuan luas, sekali gus mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.

“Penuntut wanita adalah bilangan terbesar di universiti dan mereka juga mengambil bahagian dalam setiap kegiatan di sana, malah ada yang berpeluang mengikutinya sehingga ke luar negara,” katanya sambil menambah wanita juga lebih serius dalam segala tugasan dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.