
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, tindakan nyahwarta dan menukar sebahagian syarat tanah untuk tujuan projek pembangunan perumahan itu tidak diwar-warkan kepada orang awam dan dilihat pihak berkuasa melakukannnya secara senyap-senyap.
“Memandangkan projek ini adalah projek kerjasama dengan pemaju swasta, adakah projek ini diperolehi melalui tender terbuka? Siapakah pemaju yang mendapat projek ini?
“Walaupun proses diambil pihak berkuasa untuk nyahwartakan kawasan hijau atau tanah lapang ini dubuat secara sah, namun mengapakah temph diberikan untuk membuat bantahan terhadap projek ini terlalu singkat?
“Adakah ini helah yang diambil pihak berkuasa untuk memastikan tidak ramai orang dapat menghantar bantahan mereka, lebih-lebih lagi pada waktu perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tanah berukuran 3.86ha itu diguna pakai sebagai kawasan awam dan terdapat sebuah pusat asuhan dibina di kawasan berkenaan.
Kini, pihak berkuasa bercadang untuk membangunkannya sebagai projek pembangunan.
54% daripada tanah itu dikatakan akan menjadi tapak sebuah projek perumahan mampu milik, sementara selebihnya akan dijadikan tapak pembangunan sebuah kondominium mewah.
Lim berkata, sekiranya tiada jawapan diberikan oleh Annuar, maka beliau akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan siasatan lanjut.
“Mengapakah projek tanah kerajaan seperti ini diberikan kepada pemaju swasta? Adakah projek ini hanya untuk menguntungkan mereka yang terlibat?
“Apakah yang akan terjadi kepada mereka yang menggunakan tapak awam tersebut? Apakah nasib perniagaan yang wujud di sekitar kawasan itu?” katanya.
FMT sudah menghubungi Annuar bagi mendapatkan ulasan berhubung dakwaan Lim.