Subkontraktor TNB antara empat suspek ditahan curi kabel syarikat itu

Subkontraktor TNB antara empat suspek ditahan curi kabel syarikat itu

Tiga yang ditahan adalah pekerja subkontraktor terbabit dengan seorang positif dadah.

Ketua Polis Daerah Baling Shamsudin Mamat berkata nilai kerugian yang dianggarkan TNB bagi kes itu adalah sebanyak RM30,000. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Polis menahan empat lelaki termasuk seorang subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana disyaki terlibat kes mencuri kabel elektrik milik TNB, dalam serbuan di Perumahan Awam Charok Nau dekat Baling, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Baling Shamsudin Mamat berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 21 hingga 39 tahun, di sebuah bangsal belakang sebuah rumah pada 9.30 pagi.

“Ketika serbuan bersama pegawai TNB, ketiga-tiga suspek sedang melakukan kerja menanggalkan wayar tembaga daripada kabel yang dipotong di dalam bangsal berkenaan.

“Polis merampas dua tong cat, 87 batang wayar kabel, 24 wayar berwarna hitam, sebuah mesin pemotong, pisau, pemutar skru dan barangan yang dipercayai digunakan untuk memotong kabel,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah berhampiran dan menahan seorang lelaki berusia 59 tahun, iaitu subkontraktor TNB yang mempunyai lesen untuk mengendalikan kerja pemasangan kabel.

“Kita turut merampas sebuah lori dan siasatan mendapati, ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu adalah pekerja kepada suspek (subkontraktor) dan tembaga yang ditanggalkan itu dipercayai dijual di sebuah pusat membeli barangan lusuh di Pulau Pinang,” katanya.

Shamsudin berkata, nilai kerugian yang dianggarkan TNB bagi kes itu adalah sebanyak RM30,000.

Katanya, siasatan mendapati seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah berkaitan dadah dan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka juga positif dadah jenis Methamphetamine.

Beliau berkata, semua suspek direman hingga 26 Jan ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.